
GEORGE TOWN, 13 Ogos – Polis menahan dua lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan empat kes jenayah termasuk pecah rumah, samun bersenjata, pencerobohan dan kecurian di sekitar Tanjung Bungah, di sini.
- Polis menerima empat laporan berkaitan kejadian dipercayai menggunakan modus operandi sama antara 28 Julai hingga 2 Ogos.
- Dua kes melibatkan kerugian kira-kira RM17,000.
- Polis membuka empat kertas siasatan mengikut Seksyen 457, 392/397, 448 dan 379.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata kedua-dua suspek berusia 29 tahun itu ditahan secara berasingan dalam operasi khas Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, pagi tadi.
“Suspek pertama ditahan di Machang Bubok pada 8.45 pagi, manakala suspek kedua ditahan di Jalan Perda Timur, Bukit Mertajam, pada 10.05 pagi.
“Susulan penahanan mereka, polis merampas beberapa barang kes yang dipercayai milik mangsa.
“Kedua-dua suspek akan direman esok bagi membantu siasatan berhubung beberapa kejadian jenayah berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata polis menerima empat laporan berkaitan kejadian berkenaan yang dipercayai dilakukan menggunakan modus operandi sama di Tanjung Bungah antara 28 Julai hingga 2 Ogos lalu.
Daripada empat kes itu, dua melibatkan kerugian kira-kira RM17,000.
Susulan itu, polis membuka empat kertas siasatan masing-masing mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi kes pecah rumah, Seksyen 392/397 bagi samun bersenjata, Seksyen 448 bagi pencerobohan dan Seksyen 379 bagi kecurian.
Kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut.