Kes tikam pelajar: Remaja lelaki mohon maaf ketika beri keterangan bela diri

Peguam Kitson Foong (kiri) mewakili remaja 15 tahun yang dituduh membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun pada 14 Oktober 2025 hadir bagi prosiding kes berkenaan di Mahkamah Tinggi hari ini/Bernama

SHAH ALAM, 13 Ogos- Remaja lelaki berusia 15 tahun yang diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, tahun lepas, memohon maaf atas apa yang berlaku ketika memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembelaan mengemukakan pakar psikiatri Dr Ian Lloyd Anthony untuk menyokong pembelaan tidak siuman di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan.
  • Pakar memberi keterangan remaja mengalami ilusi dan penyakit mental sejak kira-kira lima tahun lalu.
  • Pembelaan berhujah tabiat memakai pelitup muka selepas COVID-19 menunjukkan perubahan tingkah laku.
  • Tertuduh masih menerima rawatan dan ubat yang perlu diambil berterusan, mahkamah sambung soal balas pakar pada 26 Ogos.

Peguam Kitson Foong berkata anak guamnya membuat kenyataan itu selepas memilih untuk memberikan kenyataan tidak bersumpah selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap remaja berkenaan.

“Dia juga mengatakan dia minta maaf atas apa yang berlaku yang menyebabkan kematian dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas prosiding di hadapan Hakim Adlin Abdul Majid.

Terdahulu, Foong memaklumkan pihak pembelaan memulakan kes mereka dengan membuat ucapan pembukaan, menyatakan bahawa pembelaan akan mengemukakan keterangan saksi pembelaan kedua, iaitu pakar psikiatri bagi menyokong pembelaan tidak siuman di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata pakar psikiatri dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony kemudian dipanggil sebagai saksi pakar untuk menerangkan keadaan mental remaja itu, termasuk proses rujukan, rawatan serta hasil pemeriksaan yang dijalankan.

Foong berkata selain laporan bertulis yang telah diterima mahkamah, pihaknya turut mengemukakan soalan kepada pakar itu berhubung istilah dan definisi perubatan psikiatri, termasuk psikosis dan skizofrenia.

“Doktor itu yang juga saksi terakhir, turut memberikan keterangan bahawa remaja berkenaan mengalami pelbagai ilusi serta penyakit mental sejak kira-kira lima tahun lepas,” katanya.

Foong berkata pakar berkenaan turut memberikan pandangan bahawa tempoh tanpa rawatan yang panjang boleh menyebabkan keadaan penyakit mental menjadi lebih serius, khususnya apabila ia berlaku ketika remaja berkenaan masih kanak-kanak.

“Keterangan Dr Ian Lloyd diberikan sebagai keterangan pakar di bawah Seksyen 45 Akta Keterangan 1950,” kata peguam itu.

Keterangan saksi pakar berkenaan bersambung petang ini, termasuk sesi soal balas sekiranya ada, sebelum pihak pembelaan menutup kes mereka dan seterusnya mengemukakan hujahan.

Tertuduh juvana itu didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di dalam bilik tandas pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama antara 9.20 pagi dan 9.35 pagi, 14 Okt 2025.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, namun sebagai juvana, remaja berkenaan tertakluk kepada peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001.

Pada prosiding sebelah petang, Foong memaklumkan remaja itu digelar “the boy who always wears the mask” oleh rakan sekolah kerana tidak pernah menanggalkan pelitup muka, dan tabiat yang berterusan selepas COVID-19 itu antara hujah utama pihak pembelaan bagi menggambarkan keadaan kesihatan mentalnya.

Malah, beliau berkata Dr Ian memberitahu remaja berkenaan dikesan sebagai seorang kanak-kanak normal sebelum pandemik itu, namun mengalami perubahan tingkah laku yang drastik selepas tempoh berkenaan.

Beliau mendedahkan terdapat rakan sekelas yang tidak pernah melihat wajah sebenar remaja itu sehingga hari kejadian, manakala ketika di rumah, tertuduh dilaporkan sering menutup wajah menggunakan baju ketika berinteraksi dengan ahli keluarga.

Foong berkata hasil temu bual Dr Ian dengan guru serta rakan sekelas remaja itu bagi mendapatkan gambaran mengenai sejarah tingkah lakunya, menunjukkan remaja berkenaan merupakan kanak-kanak normal sebelum pandemik, manakala perubahan tingkah laku mula kelihatan selepas tempoh berkenaan.

“Menurut pakar psikiatri, simptom-simptom itu wujud dan boleh kelihatan bermula daripada selepas COVID-19. Masa COVID-19, memakai pelitup muka ialah satu keperluan, tetapi selepas COVID-19 dia masih memakainya sehinggalah insiden tersebut,” katanya.

Beliau berkata aksi dan reaksi remaja itu sebelum, semasa dan selepas kejadian termasuk ketika ditahan serta sepanjang siasatan, dilihat pihak pembelaan sebagai keterangan sokongan yang kuat terhadap dakwaan gangguan mental dialaminya.

Bagaimanapun, jenis penyakit mental yang dihidapi remaja itu belum boleh didedahkan memandangkan mahkamah masih belum membuat keputusan berhubung penerimaan keterangan pakar berkenaan.

Foong memaklumkan anak guamnya itu masih menerima rawatan dan mengambil ubat-ubatan bagi membantu mengawal emosi serta delusi yang dialaminya, dan dimaklumkan perlu mengambilnya sehingga akhir hayat bagi memastikan penyakitnya terkawal.

Mahkamah menetapkan 26 Ogos ini untuk menyambung sesi soal balas terhadap Dr Ian sebelum pemeriksaan semula dan penutupan kes pembelaan. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.