
KUALA LUMPUR, 3 November – Kerajaan terus memperkukuh akauntabiliti dan tadbir urus Badan Berkanun Persekutuan (BBP) serta syarikat milik kerajaan bagi memastikan pengurusan dana awam dilaksanakan secara berhemat, cekap dan bertanggungjawab.
- RUU Entiti Milik Kerajaan mewujudkan kerangka perundangan menyeluruh untuk pengurusan kewangan, kawal selia dan pengawasan entiti milik kerajaan.
- Ahli Lembaga Pengarah, termasuk wakil kakitangan awam, tertakluk kepada tanggungjawab fidusiari dan tatakelola mengikut akta tubuh masing-masing.
- Tindakan tatatertib, surcaj, liabiliti sivil dan tindakan SPRM atau polis boleh diambil terhadap salah urus, penipuan atau rasuah.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, usaha itu termasuk penggubalan Rang Undang-Undang Entiti Milik Kerajaan (SOE) bagi mewujudkan kerangka perundangan yang lebih menyeluruh dan seragam, khususnya dalam aspek pengurusan kewangan, kawal selia serta pengawasan terhadap entiti milik kerajaan.
“Cadangan RUU ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh pengurusan kewangan serta memastikan akauntabiliti pihak yang bertanggungjawab ke atas entiti milik kerajaan termasuk Ahli Lembaga Pengarah.
“Lembaga Pengarah termasuk kakitangan awam yang mewakili kerajaan mempunyai tugas dan tanggungjawab fidusiari selaras dengan akta tubuh masing-masing serta tertakluk kepada tatakelola yang mengikat Lembaga Pengarah Badan Berkanun berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar semasa persidangan Dewan Rakyat.
Menurut Liew, bagi badan berkanun, tindakan tatatertib dan surcaj boleh dikenakan di bawah Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605) terhadap pegawai yang bertanggungjawab menyebabkan kehilangan wang atau aset akibat kecuaian atau ketidakpatuhan prosedur.
Pengarah entiti yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 2016 juga boleh dikenakan tindakan sivil sekiranya melanggar kewajipan fidusiari sehingga mengakibatkan kerugian kepada syarikat.
Sekiranya kerugian melibatkan unsur rasuah, salah guna kuasa atau penipuan, tindakan penguatkuasaan turut boleh diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.