Portal Sekolahku mudahkan akses maklumat sekolah

Foto Kementerian Digital

PETALING JAYA, 3 November – Portal Sekolahku diperkenalkan sebagai platform digital berpusat bagi memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat rasmi berkaitan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Ibu bapa boleh semak maklumat sekolah, termasuk penawaran DLP, sekolah berasrama penuh, lokasi terdekat dan kekosongan bagi kemasukan.
  • Portal menyediakan akses maklumat seragam untuk kira-kira 10,000 sekolah, mengelakkan pertindihan pembangunan sistem negara.
  • PPD dan JPN digesa memanfaatkan portal supaya sekolah luar bandar dan pedalaman turut dikumpulkan dan maklumat disampaikan lebih berkesan.

Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, inisiatif hasil kerjasama bersama Kementerian Digital itu membolehkan ibu bapa mendapatkan maklumat sekolah secara dalam talian tanpa perlu hadir ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Menurut beliau, portal berkenaan turut menyediakan maklumat mengenai penawaran kelas, termasuk Program Dwibahasa (DLP) dan bukan DLP.

“Melalui Portal Sekolahku, ibu bapa dan anak-anak boleh mendapatkan maklumat mengenai sekolah yang paling hampir dengan kediaman, termasuk sekolah berasrama penuh (SBP) serta sekolah pilihan yang menjadi impian mereka.

“Portal ini juga membolehkan mereka menyemak sama ada sekolah yang diimpikan masih mempunyai kekosongan atau peluang untuk kemasukan.

“Justeru, kemudahan ini memberi peluang kepada anak-anak untuk mengenal pasti sekolah pilihan yang bersesuaian dengan cita-cita dan hala tuju pendidikan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Portal Sekolahku oleh Kementerian Digital kepada KPM di sini, hari ini.

Beliau turut berkata penggunaan portal berkenaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan JPN bagi memastikan penyampaian maklumat kepada masyarakat lebih berkesan.

Sementara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, ibu bapa kini boleh mendapatkan maklumat berkaitan kira-kira 10,000 sekolah di seluruh negara menerusi Portal SekolahKu.

Inisiatif itu juga bertujuan mengelak pertindihan pembangunan sistem, selain memastikan akses kepada maklumat persekolahan lebih mudah dan seragam.

“Pada masa dahulu, jika dilihat dari aspek pendigitalan, mungkin setiap sekolah mahu mewujudkan platform masing-masing bagi menyediakan maklumat berkaitan sekolah.

“Jika perkara itu dilaksanakan di semua sekolah di seluruh negara, ia akan melibatkan beribu-ribu sekolah.Jadi, platform ini menyediakan sistem perkhidmatan secara konsisten di semua sekolah di seluruh negara, supaya setiap maklumat dapat diakses melalui satu platform,” katanya.

Portal Sekolahku turut memaparkan identiti visual rasmi KPM bagi memperkukuh kredibiliti serta meningkatkan keyakinan pengguna terhadap kesahihan maklumat yang disediakan.

Dalam pada itu, beliau berkata usaha memastikan sekolah di kawasan luar bandar tidak tercicir daripada inisiatif berkenaan, menjadi antara keutamaan pelaksanaan portal tersebut.

Sehubungan itu, kerjasama erat KPM amat penting bagi memastikan maklumat berkaitan setiap sekolah dapat dikumpulkan secara menyeluruh, termasuk sekolahyang terletak di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Orang ramai boleh melayari portal Sekolahku menerusi laman sesawang https://sekolahku.moe.gov.my/.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.