
SHAH ALAM, 3 November – Keadaan banjir di Kampung Melayu Subang dilaporkan terkawal, berikutan paras air sungai mencatatkan trend penurunan dan berada pada paras normal, setakat tengah hari tadi.
- JBPM melakukan pemantauan berterusan; BBP Bukit Jelutong memantau lokasi dan tiada pemindahan penduduk setakat ini.
- Hujan lebat luar biasa melebihi 100 milimeter menyebabkan limpahan Sungai Damansara dan Sungai Buloh, menjejaskan puluhan kediaman.
- Beberapa laluan utama ditenggelami air, mengganggu lalu lintas; air surut secara berperingkat lewat malam tadi.
- JBPM Selangor menasihatkan penduduk agar berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata pemantauan di lokasi oleh anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong mendapati keadaan cuaca baik pada pagi tadi.
“Paras air menunjukkan trend penurunan dan kini berada pada paras normal. Tiada sebarang penempatan semula atau pemindahan penduduk dilakukan oleh pihak bomba setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, pihak bomba melaksanakan pemantauan berterusan dari semasa ke semasa, susulan banjir kilat yang berlaku di kawasan berkenaan akibat hujan lebat pada petang semalam.
Kawasan berkenaan dilaporkan mengalami taburan hujan lebat luar biasa melebihi 100 milimeter dalam tempoh singkat sehingga menyebabkan limpahan air Sungai Damansara dan Sungai Buloh, sekali gus menjejaskan puluhan kediaman serta premis berhampiran.
Limpahan air turut menyebabkan beberapa laluan utama ditenggelami air dan menjejaskan kelancaran lalu lintas sebelum surut secara berperingkat menjelang lewat malam tadi.
Dalam pada itu, pihak JBPM Selangor menasihatkan penduduk sekitar supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.