
PUTRAJAYA, 13 Ogos – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyenarai hitam semua pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dikenal pasti diluluskan menerusi sindiket penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).
- Tindakan meliputi pembaharuan, pertukaran alamat dan sebarang transaksi lain berkaitan PLKS digantung bagi pemegang terlibat.
- Pemegang PLKS yang mempunyai pertanyaan atau urusan lanjut diminta hadir ke kaunter imigresen berkaitan.
- Serbuan mendapati alamat premis dan maklumat majikan berbeza daripada rekod PLKS, dipercayai untuk mengaburi pihak berkuasa.
- SPRM dan JIM jalankan Op Crack sejak 28 Julai; 1,306 PLKS diluluskan sindiket dan 10 individu ditahan bagi siasatan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, langkah itu bagi mengesan pemegang PLKS yang tidak sah, selain menghalang mereka daripada melakukan sebarang transaksi berkaitan pas berkenaan.
“Tindakan berkenaan meliputi urusan pembaharuan, pertukaran alamat serta sebarang transaksi lain berkaitan PLKS.
“Pemegang PLKS yang disenarai hitam perlu hadir ke kaunter imigresen berkaitan sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan atau urusan lanjut,” katanya pada Sidang Media Operasi Khas Jabatan Imigresen di sini, hari ini.
Tambahnya, hasil beberapa serbuan turut mendapati alamat premis dan maklumat majikan yang digunakan berbeza daripada rekod dalam PLKS, dipercayai bagi mengaburi pihak berkuasa.
JIM akan terus mengenal pasti serta mengesan pemegang PLKS terbabit bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama JIM melaksanakan Op Crack sejak 28 Julai lalu bagi membongkar kegiatan mengeksploitasi MyIMMs untuk meluluskan PLKS secara tidak sah.
“Sebanyak 1,306 PLKS dikesan diluluskan menerusi sindiket berkenaan di pelbagai lokasi seluruh negara, membabitkan pelbagai sektor.
“Setakat ini, 10 individu termasuk pengarah syarikat, warga asing, pegawai polis dan pegawai imigresen ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.