Tindakan Jepun turunkan cukai makanan dipersoal, harga barang naik

Keadaan di pasar raya di Jepun/ REUTERS

TOKYO, 13 Ogos – Pelan baharu Jepun untuk mengurangkan cukai penggunaan ke atas makanan dan minuman mengundang keraguan, ketika isi rumah terus berdepan tekanan akibat peningkatan kos sara hidup.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penduduk pasar merungut harga barang meningkat dan kuantiti berkurang; mereka belum melihat kesan positif dasar.
  • Ramai merasakan hampir semua barangan kini lebih mahal; pengurangan cukai kecil dianggap tidak membantu secara signifikan.
  • Pakar ekonomi meragui keberkesanan dasar, kata ia dipacu oleh politik dan mungkin hanya memberi kesan sementara.
  • Tiada pelan pembiayaan alternatif jelas; pengurangan hasil cukai boleh menjejaskan pembiayaan sistem keselamatan sosial.

Pelan itu diluluskan Kabinet pada 5 Ogos, dengan kadar cukai penggunaan ke atas makanan dan minuman akan dikurangkan daripada lapan peratus kepada satu peratus, bermula April tahun depan.

Dalam kempen pilihan raya Dewan Perwakilan pada Februari lalu, Parti Demokratik Liberal (LDP) dan rakan gabungan Parti Inovasi Jepun, berjanji untuk memansuhkan sepenuhnya cukai penggunaan ke atas makanan dan minuman selama dua tahun bagi membantu isi rumah menangani kesan inflasi.

Bagaimanapun, beberapa penduduk di sebuah pasar tempatan di Tokyo mengeluh mengenai kenaikan harga barangan sejak beberapa bulan lalu dan mempersoalkan keberkesanan dasar berkenaan.

Seorang penduduk berkata, harga sesetengah barangan termasuk daging semakin meningkat, manakala kuantiti yang diperoleh semakin berkurangan meskipun harga lebih tinggi.

“Saya memang merasakan harga beberapa barangan dan daging telah meningkat. Kita mendapat kurang barangan pada harga yang lebih tinggi. Bagi pengurangan cukai itu, saya masih belum melihat kesannya,” katanya.

Seorang lagi penduduk berkata, hampir semua barangan kini dirasakan lebih mahal ketika membeli-belah.

“Segalanya semakin mahal. Saya rasa harga meningkat setinggi ini kerana kerajaan Jepun tidak melakukan apa-apa. Mengurangkan kadar kepada hanya satu peratus, walaupun untuk tempoh dua tahun, tidak akan memberi banyak perbezaan. Lebih baik mereka tidak melakukannya langsung,” katanya.

Sementara itu, pakar ekonomi berpandangan pengurangan cukai penggunaan mungkin tidak dapat mengurangkan beban kewangan isi rumah secara berkesan.

Ketua Ahli Ekonomi ABC Economic Research Institute, Hideo Kumano berkata, masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan dasar itu, namun beliau secara peribadi meragui kesannya.

“Dasar ini didorong ahli politik Jepun. Sama ada ia benar-benar berkesan masih terlalu awal untuk dinilai. Saya secara peribadi mempunyai keraguan terhadap kesannya.

“Sesetengah ahli politik menyokong pengurangan cukai kerana rakyat masih begitu tidak berpuas hati dengan cukai penggunaan selepas dua kali kenaikan. Mereka hanya tunduk kepada pandangan awam. Saya bimbang pengurangan cukai ini hanya memberi kesan sementara seperti campur tangan mata wang dan manfaatnya tidak bertahan lama,” katanya.

Cukai penggunaan selama ini menjadi antara sumber penting pembiayaan sistem keselamatan sosial Jepun, termasuk pencen dan penjagaan kesihatan.

Sehubungan itu, persoalan mengenai kaedah untuk menampung jurang fiskal besar akibat pengurangan hasil cukai itu turut menjadi kebimbangan utama.

Profesor Sains Politik Universiti Hosei di Tokyo, Hiroshi Shiratori pula berpandangan, cukai penggunaan diperkenalkan bagi menyediakan sumber kewangan untuk sistem keselamatan sosial pada masa depan, khususnya bagi menyokong masyarakat yang semakin berusia, selain menyalurkan dana kepada kerajaan tempatan.

“Namun, jika hasil fiskal berkurangan tanpa pelan pembiayaan alternatif yang jelas, hasil cukai akan menurun apabila cukai dikurangkan dan kekurangan itu perlu ditampung daripada sumber lain.

“Bagaimanapun, tiada pelan pembiayaan alternatif yang jelas dikemukakan. Takaichi sejak sekian lama menekankan pelaksanaan ‘dasar fiskal yang bertanggungjawab’, namun hakikatnya ini adalah dasar fiskal yang langsung tidak bertanggungjawab,” katanya.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.