Kes dadah: Malaysia diberi akses siasatan juruterbang di Jakarta

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) menyaksikan sesi mendatangani serah terima Helikopter AW189/ Foto BERNAMA

SUBANG, 13 Ogos – Pasukan penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman telah diberi akses oleh pihak berkuasa Indonesia untuk mengambil keterangan dan menjalankan siasatan terhadap seorang juruterbang rakyat Malaysia yang ditahan berhubung kes penyeludupan dadah, bulan lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rancangan memperketat kawalan keselamatan lapangan terbang akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri Rabu depan.
  • Taklimat perincian pelan diterima daripada Ketua Setiausaha KDN dan pasukan penyelaras pelbagai agensi.
  • Seorang juruterbang Malaysia Airlines ditahan di Jakarta pada 29 Julai, disyaki terlibat penyeludupan lebih 70,000 pil ekstasi (25 kilogram).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkembangan itu membolehkan siasatan lanjut dijalankan meskipun masih di peringkat awal.

Beliau mengesahkan perkara itu selepas menerima taklimat awal berhubung status proses berkenaan daripada Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan.

“Pihak berkuasa Indonesia telah memberi ruang untuk JSJN mengambil keterangan suspek. Biar penyiasat melengkapkan proses tersebut terlebih dahulu dan sebarang perkembangan baharu akan dikongsi kepada media kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penerimaan Helikopter AW189 di Stesen Udara Maritim Subang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Saifuddin memaklumkan rancangan memperketat kawalan keselamatan di lapangan terbang negara dijadualkan dibentang kepada Jemaah Menteri, Rabu depan.

Menurut beliau, taklimat berhubung perincian pelan berkenaan telah diterima daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr Awang Alik Jeman bersama pasukan penyelaras pelbagai agensi.

“Saya akan teliti terlebih dahulu dan sekiranya tiada sebarang perubahan, pelan ini akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet akan datang bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke,” jelasnya.

Sebelum ini, seorang juruterbang Malaysia Airlines ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada 29 Julai lalu selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah melibatkan lebih 70,000 pil ekstasi seberat 25 kilogram.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.