Op Chicks: 7 ditahan sindiket import ayam beku

Foto RTM

KUCHING, 13 Ogos – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh individu termasuk tiga pengusaha dan empat penjawat awam menerusi operasi khas “Op Chicks” berkaitan sindiket mengimport ayam sejuk beku dari China dan Poland.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi khas Op Chicks dilaksanakan pada 11 Ogos oleh Cawangan Projek Khas, Bahagian Perisikan SPRM.
  • Suspek direman oleh mahkamah untuk membantu siasatan berkaitan kegiatan sindiket import ayam sejuk beku.
  • Sindiket disyaki merasuah pegawai pelabuhan Kota Kinabalu dan mengisytiharkan ayam sebagai barangan lain untuk elak pengesanan.
  • SPRM menyita 10 kontena bernilai lebih RM3.74 juta, kesan ketirisan cukai lebih RM1.012 juta; siasatan diteruskan, kemungkinan tangkapan lanjut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, kesemua suspek ditahan dalam operasi yang dijalankan pada 11 Ogos lalu oleh sepasukan pegawai Cawangan Projek Khas (CPK), Bahagian Perisikan SPRM.

Menurutnya, kesemua mereka turut direman oleh mahkamah bagi membantu siasatan berhubung kegiatan sindiket berkenaan.

“Hasil operasi yang dijalankan pada 11 Ogos itu, pihak kami berjaya menahan seramai tujuh individu, iaitu tiga pengusaha yang berkaitan dengan perniagaan berkenaan serta empat penjawat awam dan kesemua mereka telah dikenakan tahanan reman oleh mahkamah,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan disyaki merasuah pegawai di sebuah pelabuhan di Kota Kinabalu, Sabah bagi melancarkan kegiatan membawa masuk ayam sejuk beku.

Sindiket itu juga dipercayai membuat pengisytiharan tidak benar dengan mengisytiharkan ayam sejuk beku sebagai barangan lain, termasuk sayur-sayuran, bagi mengelak pengesanan pihak berkuasa.

Dalam operasi berkenaan, SPRM menyita 10 kontena yang mengandungi barangan dianggarkan bernilai lebih RM3.74 juta, selain mengesan ketirisan cukai berjumlah lebih RM1.012 juta.

Turut disita ialah tujuh telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan.

SPRM kini meneruskan siasatan bagi mengesan individu lain yang dipercayai terlibat, selain meneliti kemungkinan wujud kesalahan lain berkaitan sindiket berkenaan.

Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan rasuah dan SPRM tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan dibuat sekiranya terdapat bukti baharu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.