
KYIV, 13 Ogos – Jumlah orang awam yang terbunuh di Ukraine pada Julai 2026 meningkat ke paras tertinggi sejak awal pencerobohan Rusia, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), ketika Moscow memperhebatkan serangan peluru berpandu jarak jauhnya.
- Rusia melancarkan jumlah peluru berpandu tertinggi, termasuk peluru berpandu balistik yang menghujani Kyiv.
- PBB mengesahkan 16,874 kematian orang awam sejak pencerobohan, namun angka sebenar dipercayai lebih tinggi kerana kawasan terhad akses.
- Presiden Zelensky menggesa sekutu membekalkan sistem pertahanan udara canggih, khususnya sistem Patriot buatan AS.
Rusia melancarkan jumlah peluru berpandu tertinggi pernah direkodkan ke atas Ukraine sepanjang bulan berkenaan, berdasarkan analisis AFP terhadap data yang diterbitkan oleh tentera udara Ukraine, dengan peluru berpandu balistik yang sukar dipintas menghujani ibu negara Kyiv.
“Sekurang-kurangnya 437 orang awam terbunuh manakala 2,610 lagi cedera di Ukraine pada Julai, meningkat 30 peratus berbanding bulan sebelumnya dan 70 peratus berbanding Julai 2025,” kata Misi Pemantauan Hak Asasi Manusia PBB dalam satu kenyataan.
“Jumlah kematian itu merupakan yang tertinggi direkodkan sejak Mei 2022,” tambah kenyataan itu.
Ratusan ribu individu, majoritinya anggota tentera dari kedua-dua pihak dipercayai telah terbunuh sejak Rusia melancarkan pencerobohan berskala penuh pada Februari 2022.
Konflik tersebut kini menjadi perang paling dahsyat di Eropah sejak Perang Dunia Kedua, manakala usaha diketuai Amerika Syarikat untuk menghentikan pertempuran masih belum mencapai kemajuan.
PBB memaklumkan pihaknya telah mengesahkan kematian 16,874 orang awam sejak pencerobohan Rusia bermula.
Bagaimanapun, angka itu dipercayai jauh lebih rendah daripada jumlah sebenar kerana PBB tidak dapat mengesahkan jumlah korban di kawasan Ukraine yang diduduki tentera Rusia.
Angka tersebut termasuk Mariupol, sebuah bandar pelabuhan yang dikepung Rusia pada peringkat awal perang dan dipercayai menyaksikan ribuan kematian.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky terus menggesa sekutu negaranya membekalkan lebih banyak sistem pertahanan udara canggih, khususnya sistem Patriot buatan Amerika Syarikat, bagi menangkis serangan peluru berpandu balistik berkelajuan tinggi yang sukar dipintas kerana trajektori dan kelajuannya.
Sekurang-kurangnya 54 orang awam terbunuh di Kyiv sepanjang Julai, menjadikannya antara bandar yang paling teruk terjejas, menurut PBB.
Pada tahun-tahun awal perang, ibu negara Ukraine itu relatif lebih terlindung daripada serangan, namun kekurangan sistem pertahanan udara serta peningkatan serangan Rusia menyebabkan Kyiv kini semakin terdedah.
Ukraine turut meningkatkan serangan jarak jauhnya ke atas Rusia, dengan alasan ia merupakan serangan balas yang menyasarkan Moscow selain menjejaskan hasil tenaga penting negara itu.
Pihak berkuasa Rusia pula melaporkan peningkatan jumlah orang awam yang terbunuh kepada 79 orang pada Julai.
Bagaimanapun, PBB berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan angka tersebut secara bebas mengikut piawaian pengesahannya berikutan kekurangan akses dan maklumat yang terhad. – AFP