
TEHRAN, 13 Ogos – Seorang pegawai kanan Iran menegaskan Selat Hormuz masih berada di bawah kawalan Republik Islam itu, selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mendakwa Washington menguasai laluan perairan strategik berkenaan.
- Presiden Trump mendakwa Amerika Syarikat mempunyai kawalan penuh ke atas Selat Hormuz.
- Iran menolak dakwaan AS, mengancam menutup laluan kepada kapal AS dan Israel serta bercadang kenakan sistem tol.
- Rundingan dengan Oman mengenai laluan baru belum dimuktamadkan; Tehran kata laluan hanya dibuka semula jika AS penuhi tuntutan Iran.
“Hari ini, anda dapat lihat bahawa Selat Hormuz berada di bawah pengurusan dan kawalan Republik Islam, dan negara kita terus bergerak dalam keadaan yang sepenuhnya selamat,” kata ketua pasukan separa tentera Basij yang bernaung di bawah Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Hossein Taeb.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas Trump mendakwa AS mengawal selat yang amat penting bagi aliran tenaga dunia tersebut.
“Amerika Syarikat mempunyai kawalan penuh ke atas Selat Hormuz. Saya rasa kita akan terus mengekalkannya!” tulis Trump menerusi platform Truth Social pada Rabu.
“Sekatan laut kami digelar oleh semua pihak sebagai ‘tembok besi’ dan tiada apa yang boleh dilakukan Iran mengenainya,” tambah beliau.
AS berulang kali mendakwa menguasai Selat Hormuz, namun Iran menolak dakwaan tersebut dengan menegaskan bahawa pihaknya secara efektif mengawal laluan perairan itu dan bercadang mengenakan sistem tol.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, pada Khamis berkata AS telah melakukan kesilapan dalam membuat penilaian berhubung Selat Hormuz.
“AS telah lama membuat kesilapan penilaian akibat kegagalan risikan. Contohnya, perang terhadap Iran. Kini, mereka membuat kesilapan penilaian yang lebih besar mengenai Selat Hormuz,” katanya menerusi platform X.
Pada hari yang sama, anggota Parlimen Iran dan ahli Suruhanjaya Keselamatan Negara, Behnam Saeedi, berkata selat berkenaan ditutup kepada kapal milik AS dan Israel.
“Kapal milik rejim Zionis tidak akan mempunyai hak untuk melalui Selat Hormuz dalam apa jua keadaan, sama ada ketika perang mahupun masa aman,” katanya kepada televisyen kerajaan.
Beliau menambah bahawa kapal perang AS juga akan dihalang daripada melalui selat berkenaan.
Iran dan Oman sebelum ini mengadakan rundingan bagi mewujudkan laluan baharu melalui Selat Hormuz, namun rundingan tersebut masih belum dimuktamadkan.
Bagaimanapun, Tehran menegaskan bahawa sekiranya rundingan itu menghasilkan laluan baharu sekalipun, ia tidak akan secara automatik membuka semula laluan perairan tersebut melainkan AS memenuhi tuntutan Iran. – AFP