
KEMAMAN, 13 Mac -Sebuah gerai dan stor penyimpanan mercun serta bunga api musnah dalam satu kebakaran di Kampung Gong Limau, Kemaman, Terengganu awal pagi tadi.
- Letupan dan percikan bunga api kuat selama kira-kira 30 minit, mengganggu penduduk yang sedang tidur.
- Sebanyak 22 anggota bomba dari Chukai dan Kemaman dengan tiga jentera digerakkan; panggilan diterima pada 3.43 pagi.
- Kebakaran dapat dikawal pada 4.39 pagi dan operasi pemadaman ditamatkan 5.10 pagi; tiada kecederaan, siasatan dan anggaran kerugian dijalankan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd Hanif Che Khalid berkata, kebakaran melibatkan sebuah kabin yang dijadikan tempat simpanan pelbagai jenis mercun dan bunga api.
“Dalam kejadian kira-kira pukul 4.00 pagi itu menyebabkan berlaku letupan mercun ndan percikan bunga api yang agak kuat selama kira-kira 30 minit dan menggangu penduduk berdekatan yang sedang tidur,” katanya ketika dihubungi RTM.
Menurutnya, seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai dan Kemaman dengan kekuatan tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung kejadian itu.
Pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada pukul 3.43 minit pagi.
“Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada 4.39 minit pagi dan operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya 5.10 minit pagi,” katanya.
Tiada sebarang kecederaan berlaku dan pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan anggaran kerugian dialami.