
LABUAN, 25 Mei – Seorang bayi perempuan berusia dua bulan meninggal dunia di Hospital Labuan selepas dipercayai didera.
- Seorang lelaki tempatan, 37, ditahan reman disyaki mencederakan di rumah di Kampung Bukit Kuda.
- Bedah siasat: kecederaan serius pada kepala akibat trauma tumpul dan beberapa patah tulang rusuk lama.
- Suspek didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh; jika sabit, hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta sebatan.
- Kes disebut di hadapan Majistret; sebutan semula 23 Jun melibatkan 22 saksi pendakwaan.
Kejadian itu membawa kepada penahanan reman seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun yang disyaki melakukan perbuatan itu di rumah tidak bernombor di Kampung Bukit Kuda.
Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan daripada Hospital Labuan berhubung kejadian berkenaan pada 9 Mei lalu, kira-kira pukul 2.40 pagi.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan serius di kepala akibat trauma tumpul serta beberapa kesan patah tulang rusuk lama pada bahagian badan.
Hasil siasatan yang dijalankan juga mendapati suspek melakukan perbuatan mencederakan anak kandung di kediamannya. Suspek direman bagi tujuan siasatan.
Sementara itu, tiada pengakuan dibuat oleh suspek hari ini di Mahkamah Labuan.
Kes disebut di hadapan Majistret Dr Melissa Chia Pui Fung dikendali Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Labuan, ASP Ruslan Tarai.
Suspek di dakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Jika sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta, jika tidak dijatuhi hukuman mati, boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 23 Jun ini, melibatkan seramai 22 saksi pendakwaan.
Suspek ditahan bawah seksyen 259 KK dan akan di hantar di Penjara Kepayan, Sabah sementara menunggu tarikh sebutan semula kes.