Banteras ‘ulat’ di KLIA : JPJ perkukuh penguatkuasaan, pemantauan 24 jam

Penguatkuasaan memastikan kegiatan ‘ulat’ dibendung dengan lebih berkesan

SEPANG, 6 Julai – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperhebat penguatkuasaan termasuk menambah anggota mulai minggu depan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam usaha membanteras kegiatan ‘ulat’ teksi, kenderaan e-hailing serta persendirian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan bertujuan memastikan kegiatan ulat dibendung dengan lebih berkesan.
  • Anggota akan beralih ke penugasan tiga syif bagi rondaan 24 jam menggantikan tugasan terhad 7 pagi hingga 12 tengah malam.
  • Op Khas bersama MAHB dan Polis menyita 54 kenderaan; 59 diperiksa, dan Jan-Jun JPJ ambil tindakan ke atas 131 daripada 151.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli menegaskan pelaksanaan itu bertujuan memastikan kegiatan terbabit dibendung dengan lebih berkesan.

“Ketika ini hanya 17 anggota bertugas secara syif dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam, sedangkan kegiatan ulat berlaku pada bila-bila masa.

“Sehubungan itu, anggota bertugas akan membuat rondaan dengan pelaksanaan penugasan secara tiga syif bagi memastikan pintu masuk negara bebas kegiatan menawarkan perkhidmatan pengangkutan penumpang secara haram, sekali gus telah memberi imej negatif terhadap negara,”katanya dalam sidang media Operasi Khas Ulat KLIA di Terminal 2, di sini.

Beliau turut memaklumkan 54 kenderaan telah disita menerusi Op Khas Ulat di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 sepanjang tempoh 12 hingga 26 Jun lepas.

“Operasi khas itu dilaksana dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Polis bagi membanteras kegiatan menawarkan perkhidmatan pengangkutan penumpang secara haram yang menjejaskan imej negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,”katanya.

Sepanjang dua minggu operasi berkenaan, 59 kenderaan diperiksa dan tindakan diambil terhadap 54 daripadanya yang disyaki terlibat dalam kegiatan ulat.

Secara keseluruhan bagi tempoh Januari hingga Jun lepas, JPJ telah memeriksa 151 kenderaan dengan tindakan telah diambil terhadap 131 kenderaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.