
KUALA LUMPUR, 8 Mac- Sebanyak 682 saman dikeluarkan manakala 80 motosikal disita dalam operasi penguatkuasaan trafik bagi membanteras kegiatan samseng jalanan yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di beberapa lokasi sekitar ibu negara awal pagi tadi.
- Operasi bersepadu melibatkan JSPT Kuala Lumpur, JPJ dan CPJKK Dang Wangi.
- Dilaksanakan dalam dua fasa di Jalan Pahang, Jalan Genting Klang dan Jalan Semarak.
- Kira-kira 1,500 hingga 2,000 kenderaan termasuk motosikal diperiksa sepanjang operasi.
- Motosikal disita kerana ubah suai tidak patuh; dibawa ke Balai Trafik untuk pemeriksaan JAS; operasi diteruskan, ibu bapa dinasihatkan.
Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Supritendan Suffian Abdullah berkata, operasi bersepadu itu turut melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Cawangan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (CPJKK) Dang Wangi.
Beliau berkata kira-kira 1,500 hingga 2,000 kenderaan termasuk motosikal diperiksa sepanjang operasi yang dilaksanakan dalam dua fasa di Jalan Pahang, Jalan Genting Klang dan Jalan Semarak.
“Sebanyak 80 motosikal disita kerana dipercayai melakukan kesalahan ubah suai dan tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan untuk digunakan di atas jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas tamat operasi hari ini.
Semua motosikal yang disita akan dibawa ke Balai Trafik Kuala Lumpur sebelum tindakan lanjut diambil termasuk pemeriksaan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Dalam operasi sama, JPJ turut mengeluarkan 115 notis atas pelbagai kesalahan berkaitan peraturan jalan raya.
Jelasnya, kebanyakan individu yang diperiksa terdiri daripada remaja berusia antara 15 hingga 21 tahun.
Polis turut menahan dua individu berusia 18 tahun atas kesalahan di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan, selain sedang mengesan seorang lagi individu yang melarikan diri daripada sekatan jalan raya.
Beliau menegaskan operasi membanteras samseng jalanan akan dilaksanakan secara berterusan termasuk sepanjang bulan Ramadan, justeru ibu bapa dinasihat supaya memantau pergerakan anak-anak bagi mengelakkan mereka terlibat dalam aktiviti lumba haram dan samseng jalanan.