fb fb fb fb fb

Tetak lelaki hingga parah, tukang besi direman tujuh hari

Suspek ketika tiba di perkarangan mahkamah / RTM

JOHOR BAHRU, 12 Februari- Seorang tukang besi yang disyaki terlibat kejadian tetak sehingga menyebabkan seorang lelaki cedera parah di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru, petang semalam direman tujuh hari sehingga 18 Februari ini.

Perintah reman terhadap lelaki berumur 45 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Mohammad Izham Mohd Aliyas di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.    

Perintah reman tersebut bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Raub Selamat mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian pergaduhan berhampiran Merlin Tower, Johor Bahru, sekitar pukul 2.00 petang semalam.

Siasatan awal mendapati mangsa seorang penganggur berumur 43 tahun cedera parah ditetak dengan senjata tajam oleh suspek.

Siasatan lanjut mendapati punca pergaduhan disyaki akibat pergaduhan antara kedua-dua belah pihak yang berada dalam pengaruh alkohol.

Suspek ditahan di lokasi kejadian bersama sebilah pisau pemotong daging dan hasil saringan suspek turut positif dadah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE