BE 2026 : Pulau Pinang libatkan 100,000 pertubuhan perniagaan, perkasa data ekonomi negara

Foto Bernama

BUTTERWORTH, 27 April Hampir 100,000 pertubuhan perniagaan di Pulau Pinang akan diliputi dalam pelaksanaan Banci Ekonomi 2026 (BE 2026).

RINGKASAN BERITA AI
  • BE 2026 penting menyediakan data ekonomi komprehensif dan terkini untuk menelusuri perubahan struktur ekonomi negara.
  • Sesi Libat Urus memperkukuh kerjasama strategik DOSM dengan industri, agensi kerajaan dan badan profesional bagi pelaksanaan banci.
  • Banci buat pertama kali meliputi aktiviti ekonomi informal, dilaksanakan dalam tiga fasa melibatkan mikro hingga pertubuhan besar.
  • Data BE 2026 akan sokong statistik baharu, penggunaan AI, kemudahan mesra OKU dan warga emas serta dasar pengukuhan rantaian bekalan dan sokongan PKS.

Ia sekali gus menjadikannya antara operasi pengumpulan data ekonomi terbesar di negeri itu.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, pelaksanaan banci tersebut penting dalam menyediakan data ekonomi yang komprehensif dan terkini bagi menelusuri perubahan struktur ekonomi negara.

Beliau berkata demikian selepas Sesi Libat Urus (SLU) Banci Ekonomi 2026 bersama persatuan perniagaan dan badan profesional peringkat negeri di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena di sini, hari ini.

“SLU berkenaan bagi memperkukuh kerjasama strategik antara Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Pulau Pinang dengan pihak industri, agensi kerajaan serta badan profesional bagi memastikan pelaksanaan banci berjalan lancar dan menyeluruh.

“BE 2026 yang bertemakan “Data Nadi Ekonomi Rakyat” buat pertama kali akan meliputi aktiviti ekonomi informal, selaras dengan prinsip memastikan tiada pihak tercicir dalam pengumpulan data.

“Setakat ini, kira-kira 30 peratus pertubuhan perniagaan di negeri itu telah selesai dibanci di bawah pelaksanaan Fasa 1,”katanya.

Operasi banci dilaksanakan dalam tiga fasa bermula Januari hingga Oktober tahun ini, dengan Fasa 1 melibatkan pertubuhan mikro dan informal, diikuti perusahaan kecil dan sederhana bagi Fasa 2 serta pertubuhan besar dalam Fasa 3.

Tambahnya, data yang diperoleh menerusi BE 2026 akan menyokong penghasilan statistik ekonomi baharu termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) serta warga emas di premis perniagaan.

Mengulas prestasi ekonomi negeri, Datuk Seri Dr Mohd Uzir berkata Pulau Pinang mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 4.8 peratus pada 2024 dengan nilai RM121.5 bilion.

Ia sekali gus menjadikannya penyumbang kelima tertinggi kepada KDNK negara.

“Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama ekonomi negeri diikuti sektor pembuatan, pembinaan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian.

“Pulau Pinang turut mencatat nilai eksport tertinggi negara sebanyak RM494.9 bilion pada 2024, didorong oleh eksport litar elektronik bersepadu,” katanya.

Namun, beliau memaklumkan, kedudukan negeri sebagai hab eksport utama menjadikannya terdedah kepada risiko ketidaktentuan global termasuk krisis geopolitik di Asia Barat yang boleh menjejaskan rantaian bekalan, kos logistik serta sentimen pelaburan.

Sehubungan itu, BE 2026 menjadi landasan penting dalam menilai tahap kesiapsiagaan ekonomi negeri serta membantu kerajaan merangka dasar bersasar termasuk pengukuhan rantaian bekalan tempatan dan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana.