
KUALA LUMPUR, 27 April – Teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu dilihat sebagai alat untuk mewujudkan peluang pekerjaan, bukan ancaman kepada tenaga kerja, khususnya dalam kalangan Bumiputera.
- AI mampu meningkatkan produktiviti dan memperluas keupayaan manusia; manusia tetap pencipta dan pengawal teknologi.
- Perubahan minda daripada mencari pekerjaan kepada mencipta pekerjaan penting selaras perkembangan ekonomi digital dan gig.
- Kongres menekankan pembaharuan pendidikan: pelaburan awal kanak-kanak, tangani keciciran, perkasa STEM dan laluan akademik tahfiz.
Setiausaha Sekretariat Kongres Pendidikan Bumiputera, Datuk Dr Khairul Azmi Mohamad berkata kebimbangan bahawa AI akan menggantikan tenaga kerja manusia adalah tidak berasas, sebaliknya teknologi itu mampu meningkatkan produktiviti dan memperluas keupayaan manusia.
“Dalam tempoh lima tahun akan datang, dijangka muncul teknologi yang lebih maju daripada AI. Namun hakikatnya, manusia kekal sebagai pencipta dan pengawal kepada teknologi tersebut.
“Justeru, tumpuan perlu diberikan kepada cara teknologi ini dimanfaatkan bagi membuka lebih banyak ruang ekonomi,” katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif bertajuk Nilai Semula Dasar Pendidikan di Angkasapuri Kota Media, hari ini.
Menurut beliau, perubahan minda daripada mencari pekerjaan kepada mencipta pekerjaan amat penting selaras dengan perkembangan ekonomi digital dan gig.
Jelas beliau, penggunaan AI secara bijak mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi, dan perkara itu akan dibincangkan dalam Kongres Pendidikan Bumiputera pada 1 Mei ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Dalam perkembangan sama, beliau berkata kongres berkenaan akan memberi tumpuan kepada isu kritikal merangkumi peringkat prasekolah, sekolah, universiti serta aliran tahfiz bagi memperkukuh sistem pendidikan negara.
Antara fokus utama termasuk pelaburan dalam pendidikan awal kanak-kanak, menangani keciciran pelajar serta memperkasa bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di peringkat pengajian tinggi.
Usaha mengarusperdanakan pendidikan tahfiz turut diberi perhatian, khususnya dalam menyediakan laluan akademik seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi membolehkan pelajar melanjutkan pengajian atau memasuki pasaran kerja.
Tambah beliau, perincian lanjut akan diteruskan melalui sesi pascakongres bagi memastikan setiap cadangan dapat dinilai secara menyeluruh.
Kongres bersifat inklusif itu dijangka menghimpunkan kira-kira 4,000 peserta terdiri daripada agensi kerajaan, mahasiswa serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menilai semula dasar pendidikan Bumiputera agar kekal relevan dengan cabaran semasa.