fb fb fb fb fb

Suspek bunuh abang ipar dipercayai dalam halusinasi

Foto RTM

ALOR SETAR, 3 November - Suspek kes bunuh abang ipar di Kampung Pida 3, Jerlun pada Jumaat lepas dipercayai dalam keadaan halusinasi akibat tidak memakan ubat dan berhenti mendapatkan rawatan terlibat.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah suspek mempunyai kad rawatan psikiatri namun dia dipercayai enggan menerima rawatan terbabit sejak empat bulan lepas.

"Susulan itu, suspek dipercayai mempunyai prasangka buruk terhadap mangsa. Keadaan ini (halusinasi) mungkin disebabkan keengganan makan ubat dan berhenti mendapatkan rawatan.

"Ketika tangkapan dibuat, kita dapati terdapat kad mangsa menerima rawatan di Hospital Alor Setar selepas mengalami kemurungan sejak krisis Covid-19," jelasnya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini hari ini.

Tambah beliau, suspek masih direman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian Jumaat lepas, seorang lelaki berusia 45 tahun ditemui maut dengan kepala terputus daripada badan di kawasan sawah padi berhampiran rumahnya selepas berlaku pergaduhan.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN