fb fb fb fb fb

Pengusaha restoran didakwa langgar anggota polis dalam keadaan mabuk

Ng Wee Long, 34, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu dengan kandungan alkohol berlebihan

JOHOR BAHRU, 18 Julai- Seorang pengusaha restoran didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang anggota polis, Ahad lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Ng Wee Long, 34 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang memandu sebuah kenderaan berada di bawah pengaruh alkohol melebihi kadar had ditetapkan sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang anggota polis berpangkat koperal.

Perbuatan tersebut telah menyebabkan anggota polis tersebut cedera patah tulang pinggul selain luka di muka, dagu dan tangan.

Kesalahan dilakukan tertuduh di Kilometer 3.6 Jalan Pantai menghala ke Permai Jaya, Johor Bahru, 7 pagi, 14 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1A) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987( AKTA 333) dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama Akta berkenaan (pindaan 2020).

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik( JSPT)Johor , Inspektor S. Vikineswary manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin, lesen memandu digantung sehingga kes selesai dan melaporkan diri setiap bulan di balai polis terdekat.

Tarikh sebutan semula, 25 Ogos depan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD