KUALA LUMPUR, 7 Jun - Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan isteri bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, bagi mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara untuk pergi ke Basel, Switzerland dan Singapura.
Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan itu selepas peguam M.Puravalen mewakili Na’imah memaklumkan, anak guamnya memohon untuk mendapatkan pasport bermula hari ini hingga 30 Jun dan ia tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengesahkan perkara itu.
Berdasarkan afidavit sokongan permohonan itu yang diperoleh media, Na’imah berkata beliau perlu ke Basel, Switzerland untuk menghadiri pameran seni Art Basel dari 10 hingga 16 Jun selain perlu berada di Singapura untuk bertemu dengan pihak berkepentingan dalam syarikatnya, berkaitan kerja.
“Alasan pemilihan tempoh ini adalah semata-mata kerana temu janji dengan pelbagai individu yang akan saya temui semasa perjalanan saya,” katanya dalam afidavit itu.
Na’imah berkata beliau telah hadir pada semua tarikh yang ditetapkan mahkamah dan tidak menunjukkan sebarang tanda untuk melarikan diri atau tidak menghadirkan diri ke mahkamah bagi kes yang dihadapinya, serta akan menyerahkan pasport kepada mahkamah dengan segera selepas kembali ke Malaysia pada atau sebelum 30 Jun 2024.
Pada 23 Jan, Na'imah, 66, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham, serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Pada 29 Jan, suami beliau yang berusia 85 tahun turut didakwa atas pertuduhan sama, membabitkan satu akaun bank, tujuh kenderaan mewah, 38 syarikat dan 25 hartanah.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan. - BERNAMA