fb fb fb fb fb

Mengaku salah rakam dan sebar aksi seks berkumpulan, lelaki didenda RM80,000

Tertuduh, Kamarulnazri Desa@Yahaya ketika berada di mahkamah / FOTO RTM

ALOR SETAR, 17 Disember- Padah merakam aksi seks termasuk secara berkumpulan dan menyebarkannya di media sosial, seorang lelaki didenda keseluruhan RM80,000 selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan.
 
Hukuman dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen Alor Setar, Mazdi Abdul Hamid ke atas tertuduh, Kamarulnazri Desa@Yahaya, 45 tahun, pagi tadi.
 
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didapati menggunakan aplikasi X “@Ayie_Noryn2016” secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video sumbang melalui suatu pautan dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada pukul 11.36 malam, 26 Januari 2024.
 
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didapati membuat dan memulakan penghantaran video lucah melalui aplikasi X “@Ayie_Noryn2016” pada pukul 1.12 pagi, 4 Februari lalu.
 
Pertuduhan pertama dan kedua disiasat dibawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.
 
Juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
 
Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh secara sedar memberikan komunikasi lucah iaitu video melalui pautan aplikasi Telegram “SU: GROUP Collection 4th” bagi maksud komersil kepada orang lain pada pukul 2.50 petang, 8 Februari 2024.
 
Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didapati menggunakan aplikasi X  “@Ayie_Noryn2016” secara sedar memberikan komunikasi lucah iaitu video melalui aplikasi Telegram “ SU: GROUP Collection 6th” bagi maksud komersil kepada orang lain pada pukul 6.20 petang, 17 Februari 2024.
 
Pertuduhan ketiga dan keempat disiasat bawah Seksyen 233 (2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang membawa hukuman yang sama.
 
Kesemua video berkenaan dilihat di Ibu pejabat Polis Daerah Kubang Pasu pada 20 Februari 2024.
 
Hakim mengarahkan tertuduh didenda RM20,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan.
 
Tertuduh bagaimanapun gagal membayar denda dan akan menjalani hukuman penjara selama 24 bulan.
 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE