fb fb fb fb fb

Lima ahli keluarga suspek Balai Polis Ulu Tiram ditahan semula

Foto hiasan

JOHOR BAHRU, 27 Mei- Tindakan polis menahan semula lima ahli keluarga suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram adalah mengikut peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 (SOSMA) bagi membolehkan siasatan lebih menyeleruh terhadap kes tersebut. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan tersebut relevan kerana perbuatan membunuh anggota polis merupakan perkara yang serius.

"...tujuh hari cukup, sepuluh hari cukup berdasarkan kepada magnitud insiden ini. Jadi kita katakan bahawa pihak polis memerlukan tempoh yang lebih lama untuk menyempurnakan siasatan bagi isu keselamatan ini.

"...supaya keselamatan rakyat dan keamanan akan memberi kesan kepada kehidupan rakyat. Ketika ini Singapura memberikan reaksi dengan mengetatkan laluan dia," katanya ketika mengulas soalan berkenaan penahanan semula lima ahli keluarga suspek kes serangan Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu. 

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, mereka ditahan mengikut SOSMA selepas tempoh reman tamat 24 Mei lalu.

Mengikut peruntukan itu, Cawangan Khas Bukit Aman akan menjalankan siasatan manakala Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) masih meneruskan siasatan berkait Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api.

Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, dua anggota polis Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun maut.

Manakala Koperal Mohd Roslan, 38 tahun mengalami kecederaan pada bahu dan pinggul akibat terkena tembakan.

Suspek berusia 21 tahun itu turut maut apabila ditembak dalam insiden berkenaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI