Isu kenaikan harga barang dibawa ke mesyuarat Kabinet – PM

FOTO HIASAN

PUTRAJAYA, 4 Mei – Isu kenaikan harga barangan akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu ini bagi meneliti langkah lebih berkesan dalam
mengurangkan beban rakyat, khususnya peniaga kecil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Maklum balas pengusaha warung di Rawang mendedahkan peningkatan kos bekalan secara berperingkat, menekan peniaga kecil.
  • Kenaikan sedikit setiap minggu memberi kesan kumulatif kepada operasi perniagaan kecil dan menuntut pemantauan lebih teliti.
  • Perlu tindakan praktikal termasuk menilai mekanisme kawalan harga sedia ada dan memberi bantuan tambahan kepada golongan terjejas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu diputuskan selepas menerima maklum balas daripada pengusaha warung di Rawang yang berdepan peningkatan kos bekalan secara berperingkat setiap minggu.

Beliau berkata, walaupun laporan rasmi menunjukkan keadaan harga masih terkawal, situasi di peringkat akar umbi mendedahkan tekanan sebenar dihadapi peniaga kecil akibat kenaikan kos yang konsisten.

“Jika kenaikan berlaku sedikit demi sedikit setiap minggu dalam tempoh beberapa minggu ia tetap memberi kesan kepada operasi perniagaan kecil.

“Jadi hari Rabu mesyuarat Jemaah Menteri, saya akan bawa kes ini. Saya kata macam mana kita nak pantau betul-betul?

“Kalau benar tak boleh kita kawal, apakah yang perlu kita lakukan lagi untuk mengurangkan beban orang-orang seperti kakak ini yang meniaga kecil,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam hari ini.

Perdana Menteri turut menegaskan keperluan pemantauan lebih teliti serta tindakan susulan yang praktikal, termasuk menilai mekanisme kawalan harga
sedia ada dan bantuan tambahan kepada golongan terjejas.

Beliau menekankan bahawa pandangan daripada rakyat khususnya peniaga kecil, perlu diambil kira dalam merangka dasar agar langkah yang diambil
benar-benar mencerminkan realiti di lapangan.