Ribut Pontian: 77 masih berlindung di PPS

28 rumah dan sebuah kuarters madrasah rosak dibadai angin kencang/ Foto APM Pontian

PONTIAN, 4 Mei – 77 penduduk daripada 23 buah keluarga di Pekan Nenas di sini masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Melayu Raya, selepas kediaman mereka dibadai ribut petang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • 28 rumah dan sebuah kuarters madrasah rosak akibat angin kencang, melibatkan atap dan siling.
  • Tiada kecederaan dilaporkan.
  • Operasi bantuan bersepadu melibatkan APM, JBPM, JKM dan PDRM dengan jentera, ambulans dan kenderaan peronda.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), sebanyak 28 buah rumah dan sebuah kuarters madrasah rosak akibat dipukul angin kencang.

Tiada kecederaan dilaporkan.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan.

Terdahulu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pontian memaklumkan, kejadian itu membabitkan 23 rumah sewa dan lima rumah persendirian, selain sebuah kuarters madrasah yang mengalami kerosakan pada bahagian atap dan siling.

Operasi bantuan awal dan pemantauan di lokasi melibatkan aset JBPM yang menggerakkan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta sebuah pacuan empat roda.

Operasi bersepadu itu turut disokong kekuatan logistik dua unit ambulans APM serta sebuah kenderaan peronda (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM).