
KANGAR, 4 Mei– Penganjuran Nat Antarabangsa ANGKASA 2026 berjaya melonjakkan imej Perlis di persada global, sekali gus memartabatkan Pasar Terapung Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai destinasi pelancongan baharu yang berdaya saing.
- Raja Perlis mengharapkan Perlis menjadi 'Dubai Kedua', berfungsi sebagai pintu gerbang terbuka bagi pasaran negara-negara ASEAN.
- Kedudukan strategik bersempadan Thailand dan sokongan kerajaan negeri, NCIA, KUSKOP serta gerakan koperasi menyokong agenda perdagangan dan inovasi.
- Nat Antarabangsa ANGKASA menghimpunkan 50 pempamer dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan China, memperkukuh jaringan perdagangan rentas sempadan.
- Program sulung menarik lebih 10,000 pengunjung dan mengiktiraf potensi Perlis sebagai destinasi agropelancongan utama.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, baginda menzahirkan harapan agar Perlis mampu muncul sebagai ‘Dubai Kedua’ dalam tempoh beberapa tahun akan datang, berfungsi sebagai pintu gerbang terbuka bagi pasaran negara-negara ASEAN.
Visi tersebut selari dengan kejayaan Dubai yang kini diiktiraf dunia sebagai hab perdagangan utama ke Asia Barat.
“Dengan kedudukan strategik negeri ini di utara Semenanjung Malaysia yang bersempadan dengan Thailand, serta didukung oleh iltizam kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), KUSKOP, dan kekuatan gerakan koperasi.”
“Saya yakin Perlis mampu berkembang sebagai pusat perdagangan, pusat inovasi, serta titik pertemuan ekonomi serantau,” titah Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Baginda bertitah demikian sewaktu menyempurnakan perasmian Nat Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026 di Pasar Terapung JPS, Pengkalan Asam.
Program sulung itu mencatatkan kejayaan luar biasa dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung.
Ia turut menghimpunkan 50 pempamer koperasi dan usahawan dari Malaysia, Indonesia, Thailand, serta China, sekali gus menjadi platform strategik bagi memperkukuh jaringan perdagangan rentas sempadan.
Selain mempromosikan produk koperasi ke pasaran yang lebih luas, inisiatif ini merupakan pengiktirafan besar terhadap potensi Perlis sebagai destinasi agropelancongan utama.
Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.