
PUTRAJAYA, 4 Mei – Sekurang-kurangnya RM250 juta dapat dijimatkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi langkah penjimatan perbelanjaan yang dilaksanakan kementerian berkenaan.
- Pelaras perbelanjaan dan penyusunan semula program memberi tumpuan kepada keperluan infrastruktur serta kemudahan di luar bandar.
- Hasil penjimatan dikembalikan kepada Kementerian Kewangan untuk menampung perbelanjaan subsidi bahan api negara.
- KKDW mengurangkan program promosi dan acara kurang memberi kesan, serta menyeru kementerian lain sokong usaha penjimatan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penjimatan itu dicapai hasil pelarasan perbelanjaan, termasuk penyusunan semula program dengan tumpuan utama diberikan kepada keperluan infrastruktur dan kemudahan di luar bandar.
Hasil penjimatan akan dikembalikan kepada Kementerian Kewangan bagi menampung perbelanjaan melibatkan subsidi bahan api negara.
“KKDW juga tidak terkecuali dalam langkah ini, malah sebelum arahan itu dikeluarkan kita pun telah mengemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk kita mengurangkan program-program yang mempunyai kesan yang agak kurang berbanding dengan keutamaan-keutamaan untuk infrastruktur, bekalan air, elektrik dan aminities untuk luar bandar.
“Jadi untuk majlis-majlis promosi seperti pameran produk ataupun untuk mengadakan acara-acara yang penting tetapi tidak begitu memberi kesan yang mendalam sebelum ini, kami telah melakukan penjimatan dalam hal yang sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulan Mei KKDW di sini, hari ini.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut menyeru kementerian lain agar dapat terus menyokong usaha penjimatan ini demi memastikan pengurusan kewangan negara yang baik.