
KUALA LUMPUR, 4 Mei – Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjalin kerjasama strategik dengan UNITAR menerusi pemeteraian Letter of Intent (LOI) bagi memperkukuh pembangunan bakat industri media negara, khususnya dalam mendepani cabaran era kecerdasan buatan (AI).
- Industri media perlu beradaptasi dengan teknologi tanpa mengorbankan kreativiti, nilai insan dan kualiti produk tempatan.
- RTM komited memastikan penggunaan AI dilaksanakan seimbang untuk memperkasa kreativiti, bukannya menggantikan nilai seni dan keupayaan manusia.
- Kolaborasi menyediakan 'industry classroom', penempatan dan bengkel profesional, merapatkan jurang akademik industri dan membentuk bakat media lebih kompeten.
Inisiatif itu dilihat sebagai langkah proaktif dalam memastikan ekosistem media negara kekal relevan selain membuka lebih banyak peluang kepada pelajar memahami perubahan landskap industri penyiaran yang semakin dipacu teknologi.
Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, industri media perlu beradaptasi dengan perkembangan teknologi tanpa mengorbankan kreativiti, nilai insan serta kualiti produk tempatan.
“Kita mahu memastikan AI bukan sahaja difahami sebagai trend, tetapi sebagai ilmu yang perlu dikuasai supaya teknologi ini tidak menjejaskan kreativiti, kualiti insan serta peluang pekerjaan, khususnya kepada bakat-bakat tempatan dalam industri media,” katanya.
Beliau menegaskan, RTM komited memastikan penggunaan AI dalam industri penyiaran dilaksanakan secara seimbang agar mampu memperkasa kreativiti dan bukan menggantikan nilai seni serta keupayaan manusia.

Sementara itu, Ketua Program Grafik UNITAR, Ts Norita Zakaria berkata, kolaborasi tersebut memberi nilai tambah besar kepada pelajar melalui konsep ‘industry classroom’, penempatan industri serta bengkel profesional bersama pengamal industri RTM.
“Pelajar bukan sahaja belajar dalam bilik kuliah, tetapi berpeluang memahami sendiri bagaimana dokumentari diterbitkan, bagaimana industri beroperasi dan memperoleh kemahiran sebenar terus daripada pemain industri,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan berkenaan mampu merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan sebenar industri media semasa.

Majlis pemeteraian itu turut disempurnakan Timbalan Naib Canselor UNITAR, Prof Dr Yap Bee Wah.
Kerjasama RTM dan UNITAR dijangka menjadi pemangkin penting dalam melahirkan generasi bakat media baharu yang lebih kompeten, kreatif dan bersedia menghadapi realiti industri masa depan.