
ALOR SETAR, 4 Mei – Sebanyak 531 beg darah berjaya dikumpulkan menerusi Kempen Derma Darah anjuran Kelab Lions Alor Setar Central bersama Persatuan Lungyen Kedah Perlis yang berlangsung di sebuah pusat beli-belah di Tandop.
- 393 beg darah diserahkan kepada Hospital Sultanah Bahiyah, 137 beg kepada Hospital Yan.
- Presiden Yee Kin Loong berkata kejayaan mencerminkan komitmen tinggi masyarakat dan sumbangan memberi peluang kedua kepada pesakit.
- Beliau menyeru amalan menderma darah sebagai tanggungjawab sosial penting yang perlu terus dipupuk dalam masyarakat.
- Pengerusi Albert Lai memuji kerjasama sukarelawan, ahli dan rakan strategik serta menghargai petugas kesihatan dan peserta.
Program khidmat masyarakat itu diadakan bagi membantu menampung keperluan bekalan darah yang semakin kritikal di negeri ini.
Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 393 beg darah diserahkan kepada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), manakala 137 beg lagi kepada Hospital Yan.
Presiden Kelab Lions Alor Setar Central, Yee Kin Loong berkata, kejayaan berkenaan melambangkan komitmen tinggi masyarakat dalam membantu menyelamatkan nyawa.
“Pencapaian ini bukan sekadar angka, tetapi melambangkan 531 sumbangan ikhlas yang berpotensi memberi peluang kedua kepada pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan dan pembedahan,” katanya.
Beliau berkata, amalan menderma darah merupakan satu tanggungjawab sosial penting yang perlu terus dipupuk dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, moto “We Serve” bukan sekadar slogan, sebaliknya diterjemahkan menerusi tindakan nyata dalam membantu golongan memerlukan.
Yee berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan menderma darah serta menyemai semangat prihatin dalam komuniti.
Sementara itu, Pengerusi program, Albert Lai berkata, kejayaan penganjuran tersebut hasil kerjasama erat sukarelawan, ahli serta rakan strategik yang komited sejak peringkat perancangan hingga pelaksanaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas kesihatan, sukarelawan dan peserta yang menjayakan kempen berkenaan.
Kelab Lions Alor Setar Central yang ditubuhkan pada 2003 menjadikan kempen derma darah sebagai antara projek utama khidmat masyarakatnya dan terus komited menyokong keperluan penjagaan kesihatan setempat.