Biodiesel B15 mula dikeluarkan 1 Jun

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA, 4 Mei Biodiesel B15 dijangka mula dikeluarkan mulai 1 Jun ini melalui 19 loji pengeluaran berlesen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkah ini sebahagian daripada inisiatif menurunkan harga diesel dalam negara.
  • Pengeluaran akan dilaksanakan secara berperingkat: mula dengan B15, kemudian B20, dan berpotensi capai B50 dalam dua hingga tiga tahun.
  • Pelaksanaan berperingkat bagi memastikan harga CPO tidak membebankan pengeluaran; kos pengeluaran tidak melebihi harga pasaran CPO.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada inisiatif menurunkan harga diesel dalam negara.

Menurut beliau, pengeluaran biodiesel akan dilaksanakan secara berperingkat, dimulakan dengan B15 sebelum ditingkatkan kepada B20, dengan jangkaan berpotensi mencapai B50 dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

“Ini kita lakukan secara berperingkat bagi menentukan bahawa agar harga minyak sawit mentah (CPO) tidak akan membebankan pengeluaran kepada biodiesel.

“Kita akan lihat harga pasaran kepada CPO dan harga pasaran kepada minyak yang dikeluarkan untuk tenaga fosil.

“Setiap waktu kita akan menentukan bahawa kos pengeluaran itu tidak mengatasi harga pasaran kepada CPO,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulan Mei Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.