
PUTRAJAYA, 4 Mei – Malaysia mengamalkan diplomasi ekonomi yang seimbang dengan mengutamakan kepentingan nasional, termasuk keselamatan bekalan tenaga.
- Rundingan perdagangan dengan rakan strategik bersifat timbal balik, contohnya tukar eksport urea dengan import fosfat daripada Australia.
- Anwar menyeru semua pihak memberi fakta tepat kerana isu ini melibatkan keselamatan negara dan bukan perkara politik.
- Malaysia akan terus kukuhkan kerjasama ekonomi dengan China dan Amerika Syarikat walau berbeza pandangan geopolitik.
- Negara tidak akan kompromi terhadap dasar penting termasuk kepentingan Bumiputera dalam sebarang rundingan perdagangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, rundingan perdagangan dengan rakan strategik seperti Australia dibuat secara timbal balas, dengan mengambil kira keperluan Malaysia mengimport fosfat untuk baja serta mengeksport urea.
“Kita import fosfat, kita eksport urea. Sebab itu dalam rundingan saya dengan Perdana Menteri Australia yang datang dua minggu lalu, beliau minta urea, saya kata boleh dengan syarat beliau kirim fosfat.
“Beliau minta minyak, saya kata kalau lebih kita bagi, kalau tak ada tak boleh. Walaupun di luar sana (dakwaan) bagaimana anda jual ke Filipina, bila yang kita jual ke Filipina?,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di sini, hari ini.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya memberikan fakta tepat kerana melibatkan soal keselamatan negara dan tidak menganggap perkara itu sebagai isu politik.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar berkata, Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama ekonomi dengan rakan dagang utama, termasuk China dan Amerika Syarikat (AS), meskipun terdapat perbezaan pandangan dalam isu geopolitik.
“Amerika masih menjadi rakan dagang dan pelabur nombor satu bagi Malaysia. Apakah kita setuju dengan dasar luar dia? Tidak. Apakah kita setuju dengan tindakan dia menyerang Iran? Tidak. Apakah kita setuju dia membiarkan anak-anak dan wanita Gaza dibunuh? Tidak.
“Jadi kita masih pertahankan kebebasan saya sebut sebagai ASEAN centrality. Tetapi kita berani bicara kerana kita negara yang merdeka dan berdaulat,” jelasnya.
Tambah beliau, Malaysia tidak akan berkompromi terhadap dasar penting negara termasuk berkaitan kepentingan Bumiputera dalam sebarang rundingan perdagangan.
“Kita boleh berdagang, tetapi jangan dia tentukan dasar kita. Sebab dasar ini kalau kita rungkai dan rombak, ia jadi ketegangan politik dalam negara yang tak dapat kita kawal. Jadi ada hadnya,” katanya.