
TAMPIN, 4 Mei – Misi penaklukan lapan puncak gunung sempena ulang tahun ke-80 Radio Televisyen Malaysia (RTM) oleh Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan (NEGERIfm) mencatat kejayaan membanggakan apabila berjaya menawan tujuh puncak sepanjang laluan Trans Naning, pada Ahad.
- Ekspedisi dua hari satu malam, menamatkan laluan di Gunung Tampin selepas perjalanan 17 km.
- 32 peserta termasuk 11 warga NEGERIfm menyertai misi, menunjukkan komitmen dan semangat kerja berpasukan.
- Siaran langsung dari puncak disiarkan menerusi radio dan media sosial walaupun cabaran liputan dan cuaca.
- Kerjasama strategik dengan Jabatan Perhutanan dan unit STORM JBPM memastikan keselamatan serta pemuliharaan hutan diprioritikan.
Ekspedisi selama dua hari satu malam itu berakhir di Gunung Tampin selepas 32 peserta termasuk 11 warga kerja NEGERIfm menempuh perjalanan sejauh 17 kilometer merentasi tujuh puncak utama sejak 2 Mei lalu.
Antara puncak berjaya ditawan termasuk Gunung Datuk, Gunung Rembau, Gunung Gagak dan beberapa lagi lokasi mencabar sebelum menamatkan cabaran di checkpoint terakhir.
Kejayaan tersebut membuktikan keupayaan warga penyiaran menggabungkan ketahanan fizikal dan kecekapan teknikal apabila siaran langsung dari puncak gunung berjaya disampaikan menerusi radio serta platform media sosial walaupun berdepan cabaran liputan komunikasi dan cuaca.
Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan, Muhammad Hafiz Makhtar berkata, misi berkenaan menjadi bukti komitmen pasukan penyiaran dalam memastikan operasi siaran terus berjalan lancar walau di lokasi ekstrem.
“Misi ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal, tetapi juga komitmen pasukan dalam memastikan setiap siaran berjalan lancar. Kejayaan menamatkan tujuh puncak hari ini memberi kepuasan besar serta membuktikan keupayaan warga penyiaran menghadapi cabaran luar biasa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Ts Mohd Yussainy Md Yusop berkata, kejayaan menamatkan misi tersebut turut membuktikan Negeri Sembilan mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan berasaskan alam semula jadi.
“Kesemua peserta berjaya sampai ke checkpoint terakhir dan ini membuktikan Negeri Sembilan mempunyai potensi pelancongan yang sangat baik,” katanya.

Misi itu kini berbaki satu lagi puncak yang dijadualkan ditawan hujung bulan ini bagi melengkapkan cabaran lapan puncak.
Kerjasama strategik bersama Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan serta unit STORM Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut memastikan aspek keselamatan dan pemuliharaan hutan sentiasa diberi keutamaan sepanjang ekspedisi.
Penganjuran berkenaan bukan sahaja menjadi simbol ketahanan fizikal, malah mencerminkan komitmen RTM untuk terus dekat di hati rakyat selari dengan transformasi penyiaran digital masa kini.