Hasil Johor cecah RM1 bilion, meningkat RM307 juta

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU, 4 Mei – Johor merekodkan peningkatan hasil negeri yang memberangsangkan apabila mencecah RM1 bilion setakat 30 April lalu, meningkat RM307 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan negeri berada pada landasan teguh untuk melindungi rakyat serta melaksanakan pelbagai agenda pembangunan.
  • Prestasi disokong pertumbuhan ekonomi negeri yang kukuh, dengan KDNK antara tertinggi di Malaysia.
  • Kerajaan peruntuk RM138 juta untuk BKJ Fasa 4, manfaatkan kira-kira 600,000 rakyat; rayuan akan diteliti dan dimurnikan melalui ICT.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pencapaian itu meletakkan kerajaan negeri di landasan kukuh untuk terus melindungi rakyat serta melaksanakan pelbagai agenda pembangunan.

“Kerajaan negeri berada pada landasan yang teguh untuk terus melindungi rakyat, meringankan beban kos sara hidup dan memastikan setiap peningkatan hasil dipulangkan semula kepada rakyat melalui inisiatif berimpak tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor ke-15 di Kota Iskandar, hari ini.

Menurut beliau, prestasi berkenaan turut disokong pertumbuhan ekonomi negeri yang kekal kukuh dengan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara tertinggi di Malaysia.

Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri memperuntukkan RM138 juta bagi pelaksanaan Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa 4 yang dijangka memanfaatkan kira-kira 600,000 rakyat di negeri itu.

Datuk Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri juga bersedia meneliti rayuan daripada mana-mana individu yang tercicir daripada menerima bantuan berkenaan.

“Jika ada keciciran, kerajaan negeri sedia mempertimbangkan rayuan tersebut dan di peringkat ICT Johor, kita sedang memastikan supaya rayuan itu dapat dimurnikan dengan sebaiknya,” katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri komited memastikan manfaat hasil negeri dapat diterjemahkan secara langsung kepada kesejahteraan rakyat Johor.