Tourism Malaysia giat promosi TMM 2026 di Indonesia, perkukuh kerjasama strategik

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 4 Mei– Tourism Malaysia melancarkan Misi Promosi Pelancongan Malaysia ke Indonesia sebagai usaha memperkukuh kerjasama pelancongan antara kedua-dua negara serta mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

RINGKASAN BERITA AI
  • Promosi di bandar utama Indonesia termasuk Surabaya, Jakarta dan Medan.
  • Delegasi 50 organisasi termasuk PGT, STB, MHTC, MM2H, agensi pelancongan, penerbangan, hotel, hospital dan pemilik produk pelancongan.
  • Program merangkumi majlis gala, seminar, travel mart serta sesi libat urus berimpak tinggi dengan penggiat industri.
  • Batik Air sebagai rakan strategik meningkatkan keterhubungan; Tourism Malaysia komited memperkukuh kerjasama dan meneroka peluang pelancongan baharu secara mampan.

Misi yang berlangsung dari 24 hingga 29 April itu merangkumi siri promosi di bandar-bandar utama seperti Surabaya, Jakarta, dan Medan.

Delegasi Malaysia menghimpunkan 50 organisasi termasuk Penang Global Tourism (PGT), Sarawak Tourism Board (STB), Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), program Malaysia My Second Home (MM2H), agensi pelancongan, syarikat penerbangan, hotel dan resort, hospital serta pemilik produk pelancongan.

“Penyertaan yang menggalakkan ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperluas kerjasama strategik serta mempererat hubungan dengan penggiat industri pelancongan Indonesia.”

“Misi ini turut menyaksikan kehadiran Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing di Jakarta, sekali gus menegaskan kepentingan strategik pasaran Indonesia,” kata Tourism Malaysia dalam satu kenyataan, hari ini.

Program itu merangkumi majlis makan malam gala, diikuti seminar dan sesi travel mart yang memberi tumpuan kepada kempen TMM2026 serta program MM2H, di samping sesi libat urus berimpak tinggi bersama penggiat industri pelancongan di setiap bandar bagi memperkukuh kerjasama serta meneroka peluang baharu.

Bersempena misi itu juga, Batik Air bertindak sebagai rakan strategik penerbangan dalam menyokong keterhubungan yang lebih baik antara Malaysia dan bandar-bandar utama Indonesia.

Kerjasama tersebut mencerminkan komitmen bersama dalam meningkatkan kemudahan perjalanan serta merancakkan aliran pelawat antara kedua-dua negara.

Tourism Malaysia kekal komited untuk meneroka peluang baharu serta mempergiat usaha promosi di bandar-bandar utama Indonesia bagi memastikan pertumbuhan pelancongan yang mampan.