LPPKN pertimbang tambahan kuota pemeriksaan mamogram bersubsidi di Terengganu

Mohd Hanafee A Rahman

BESUT, 25 Oktober – Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), mempertimbangkan penambahan kuota pemeriksaan mamogram bersubsidi di Terengganu bagi tahun depan selepas kesemua 500 kuota yang disediakan tahun ini digunakan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tahap kesedaran wanita meningkat dan stigma berkaitan kanser payudara semakin berkurangan.
  • Subsidi mamogram mendapat sambutan tinggi sehingga peruntukan tahunan habis dipohon.
  • Sejak 2007 hingga September 2026, 5,741 wanita di Terengganu menerima saringan mamogram, 11 kes positif dikenal pasti.
  • Wanita 40 tahun ke atas dengan isi rumah RM10,000 ke bawah layak mendapat saringan mamogram percuma melalui subsidi LPPKN.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) LPPKN, Mohd Hanafee A Rahman berkata, jumlah kuota baharu masih belum dimuktamadkan dan akan diteliti berdasarkan permintaan serta keperluan semasa manakala kira-kira 200 permohonan lagi akan dibawa ke pelaksanaan tahun depan.

“Alhamdulillah, tahap kesedaran wanita kini sangat tinggi dan stigma yang wujud sebelum ini juga semakin berkurangan.

“Ini dapat dilihat apabila subsidi yang disediakan setiap tahun mendapat sambutan, malah keseluruhan peruntukan habis dipohon oleh golongan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program LPPKN Pink CaRe: Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Negeri Terengganu 2026 di Dewan Masjid Hadhari, Jertih, Besut, hari ini.

Sambutan menggalakkan terhadap program saringan itu mencerminkan peningkatan kesedaran wanita mengenai kepentingan pengesanan awal kanser payudara.

Sejak 2007 hingga September 2026, seramai 5,741 wanita di Terengganu mendapat manfaat saringan mamogram menerusi program subsidi LPPKN.

Daripada jumlah itu, 11 wanita dikenal pasti positif kanser payudara. Bagi tempoh Januari hingga September tahun ini pula, seramai 105 wanita telah menjalani pemeriksaan lanjut, namun tiada kes positif kanser dilaporkan dalam kumpulan berkenaan.

Sementara itu, Hanipah Hassan, 50 tahun, yang disahkan menghidap kanser payudara pada 2018 berkata, pemeriksaan awal penting bagi mengesan kanser dan mendapatkan rawatan segera.

“Ketika itu, saya berasa kurang selesa pada bahagian payudara. Selepas menjalani pemeriksaan, saya mendapati terdapat sedikit benjolan.

“Saya kemudian berjumpa doktor dan menjalani pemeriksaan mamogram. Insya-Allah, jika kanser dapat dikesan pada peringkat awal, peluang untuk sembuh adalah lebih tinggi,” katanya.

Wanita berumur 40 tahun ke atas dengan pendapatan isi rumah RM10,000 dan ke bawah layak mendapatkan saringan mamogram percuma menerusi subsidi
LPPKN.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.