
IPOH, 25 Oktober – Dua wartawan terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di persimpangan lampu isyarat Taman Kledang Permai, Jalan Ipoh-Lumut, di sini pagi tadi.
- Kereta berhenti di lampu isyarat dilanggar dari belakang, menyebabkan kereta berpusing dan lori terbabas ke longkang.
- Ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk rawatan lanjut.
- Polis menerima laporan, menjalankan siasatan dan meminta saksi atau rakaman papan pemuka menyalurkan maklumat.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin dalam kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.45 pagi ketika kereta yang dinaiki kedua-dua wartawan itu dalam perjalanan dari arah Meru menghala ke Bagan Datuk.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta yang berhenti di persimpangan lampu isyarat itu dilanggar dari belakang oleh sebuah lori yang datang dari arah sama.
“Akibat pelanggaran itu, kereta berkenaan berpusing di atas jalan raya, manakala lori terbabas ke dalam longkang di bahu jalan,” menurut kenyataan itu.
Ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Polis menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 8.38 pagi dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka diminta menyalurkan maklumat kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh bagi membantu siasatan.