JOHOR BAHRU, 21 Januari- Polis Johor mengesahkan menerima tiga laporan polis berhubung hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam oleh pemilik atau pengendali akaun Facebook Cecelia Yap Song KL dan pelawak Harith Iskander.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar dalam kenyataan hari ini memaklumkan laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Johor Bahru Utara dan Kluang.
Jelas beliau, hantaran dalam Facebook dipercayai dimuat naik pada Sabtu lalu oleh Harith Iskander mengandungi gambar secawan Ham Sap Kopi dengan kapsyen:
"I'm so confused. My iman tergugat. This kopi will lead me down the wrong path in so many ways. Not just tempting me to become hamsap but ALSO confusing me with the word ‘ham’ in it. Ni untuk minum atau makan?
("Saya sangat keliru. Iman saya tergugat. Kopi ini boleh menyesatkan saya dalam pelbagai cara. Bukan sahaja menggoda saya menjadi hamsap, tetapi juga mengelirukan saya dengan perkataan 'ham' di dalamnya. Ini untuk diminum atau dimakan?")
"I must make a polis report because I am so weak I have lost all ability to use logic. Who else is confused?"
("Saya mesti membuat laporan polis kerana saya terlalu lemah sehingga hilang keupayaan untuk berfikir secara logik. Siapa lagi yang keliru?"
Menurut Kumar, hantaran itu kemudian dikomen oleh Cecelia Yap Song KL dengan kenyataan: "All names with Mohammad... got to be renamed then." ("Semua nama dengan Mohammad... kena ditukar nama, kalau begitu.")
Tegas beliau, Polis Johor memandang serius serta memberi amaran sekeras-kerasnya terhadap mana-mana pihak yang memainkan sentimen raja, agama dan kaum (3R) dalam media sosial sehingga boleh membangkitkan perpecahan serta menggugat keharmonian masyarakat.
Tindakan tegas tanpa kompromi bawah undang-undang sedia ada akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.
"Kes disiasat bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan iaitu kenyataan dengan niat mahu melukakan perasaan agama seseorang dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan mendatangkan khianat awam dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.
"Ia juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan pelanggan," ujarnya.
Terdahulu, pelawak Shahrol Azizie Azmi atau lebih dikenali Shahrol Shiro antara individiu yang tampil membuat laporan polis.
Dalam laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang pada Isnin, Shahrol Shiro menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan kerana status Harith dan komen Cecella itu masing-masing didakwa menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.