fb fb fb fb fb

Dua kes penipuan pelaburan disiasat, lebih RM10 juta lesap

Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan, dua kes yang disiasat merupakan kes penipuan pelaburan berprofil tinggi.

KUALA LUMPUR, 8 Ogos - Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman sedang menyiasat dua kes penipuan pelaburan berprofil tinggi yang mengakibatkan kerugian melebihi RM10.7 juta sejak tahun 2023.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kes pertama melibatkan skim pelaburan tidak sah menggunakan nama syarikat Nadia Holdings (L) Ltd, dengan 43 laporan polis telah diterima setakat ini.

“Siasatan mendapati skim ini dikendalikan oleh individu yang menjanjikan pulangan tinggi kepada pelabur dan menggunakan dokumen palsu kononnya dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. Jumlah kerugian direkodkan mencecah RM8.45 juta,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Seramai 37 mangsa dan tiga saksi telah dirakam keterangan, namun tiada tangkapan dilakukan setakat ini.

Skim itu dipercayai melibatkan seorang lelaki dikenali sebagai Datuk Seri Amaran bin Abu Bakar yang memperdaya mangsa dengan mendakwa dana diperlukan bagi mengaktifkan harta pusaka milik warga asing.

Tambah Datuk Rusdi, siasatan turut tertumpu kepada dokumen palsu yang mengandungi logo, cap dan tandatangan palsu Bank Negara Malaysia, dan pihak polis sedang menunggu pengesahan rasmi daripada institusi itu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mendedahkan satu lagi kes penipuan pelaburan berasaskan "Preference Shares", yang dipercayai dikendalikan oleh sebuah syarikat tempatan sejak 2023.

Sebanyak 279 laporan polis diterima melibatkan jumlah kerugian RM2.31 juta, apabila mangsa menyertai pelaburan selepas mengikuti webinar yang menjanjikan pulangan dividen sehingga 18 peratus setahun. Namun, bayaran dihentikan selepas beberapa bulan tanpa sebarang pulangan diterima.

JSJK kini sedang mengesan seorang lelaki, Mohd Ezman bin Zamani (No. KP: 861018-56-5531), beralamat terakhir di Rawang, Selangor, bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi ASP Mohd Fikri Najib bin Ismail di talian 013-9839854 atau Insp Noor Azamin bin Noor Azahari di 011-65580848.

TUN JULIA MOHD TAHIR