fb fb fb fb fb

64 warga asing ditahan Imigresen Sarawak

JIM Sibu Sarawak melakukan serbuan di Sibu Sarawak/Foto JIM Sarawak

KUCHING, 24 September - Seramai 64 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menerusi siri operasi penguatkuasaan di Kuching, Kota Samarahan dan Sibu pada 22 hingga 23 September lalu.

JIM Sarawak menerusi kenyataan berkata, tangkapan membabitkan 34 individu di Kuching dan Kota Samarahan, manakala 30 lagi ditahan menerusi Ops Sapu di beberapa kilang kayu sekitar Sibu.

“Daripada jumlah itu, 42 lelaki dan 22 wanita disyaki melakukan kesalahan imigresen di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, operasi di Kuching dan Kota Samarahan melibatkan 37 anggota dengan fokus terhadap warga asing bekerja tanpa permit sah, membabitkan pemeriksaan ke atas 96 individu.

Sementara itu, Ops Sapu di Sibu dijalankan Unit Pemantauan Keselamatan dan Penguatkuasaan JIM Sarawak bersama Unit Penguatkuasa Imigresen Sibu di beberapa kilang kayu.

"Kesemua 30 warga asing ditahan kerana gagal memiliki pas atau permit sah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 untuk berada di Malaysia.

“Dua saman saksi turut dikeluarkan kepada majikan dipercayai menggajikan pekerja asing tanpa dokumen sah,” jelasnya.

JIM Sarawak menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan melanggar undang-undang imigresen.

Masyarakat turut diseru menyalurkan maklumat berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) agar keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

GRACE AISYAH KEDAYAN