KUALA LUMPUR, 15 Mei- Penyanyi rap muda, Killa Driz merealisasikan impian berkerjasama dengan ikon hip hop tempatan, Joe Flizzow dan SonaOne menerusi lagu terbaharu berjudul Last Time.
Menurut Killa Driz, lagu berkenaan pada mulanya bukan diberikan kepadanya.
"Asalnya lagu ini bukan saya punya dan tiada dalam perancangan sendiri pun untuk menyanyikannya. Kemudian saya teringat suatu hari itu, Joe cakap mahu hadiahkan saya sebuah lagu," katanya.
Menurut Killa Driz, pengalaman bekerjasama dengan Joe dan SonaOne amat berharga serta membuka mindanya sebagai artis.
"Proses penghasilannya cukup organik. Saya masih ingat SonaOne menelefon saya dan menyuruh untuk datang ke pejabat Joe. Apabila saya sampai, ‘beat’ lagu itu sudah pun disiapkan.
"Joe bertanya sama ada saya sudah siap tulis liriknya atau belum. Kemudian kami tulis bersama dan saya sempurnakan bahagian rap.
"Bekerja untuk lagu ini sangat membuka minda saya. Saya berhasil menimba banyak ilmu daripada Joe dan SonaOne. Saksikan sendiri cara mereka bekerja.
"Terdapat banyak perubahan baik besar atau kecil yang dilakukan. Namun saya bersyukur bahagian vokal yang awal-awal dibuat kekal digunakan juga kerana lebih jujur. Kami juga ada menambah lapan bar," katanya lagi.
Sementara itu menurut SonaOne, Last Time menyentuh soal perbandingan masa lalu dan sekarang, serta proses mendewasakan dan menjadi diri sendiri.
Video muzik lagu berkenaan menampilkan konsep klasik dengan suntikan elemen fesyen merentasi zaman.
"Konsep asalnya adalah berdasarkan fesyen merentasi zaman, bermula dari masa lalu. Kemudian saya fikir menarik untuk menampilkan dan menukar pakaian yang berbeza dari pelbagai era.
"Kami juga mengekalkan konsep dengan visual yang berlatar belakangkan dinding putih. Kami mengekalkan elemen klasik, sama seperti dahulu ketika TV hanya hitam dan putih," jelas SonaOne.
Dalam pada itu Killa Driz yang pernah popular dengan lagu RAP$TAR dan Cuci Mata merancang untuk melancarkan album sulung pada tahun ini.
"Saya bakal melancarkan album pertama pada tahun ini di bawah Def Jam SEA dan juga naikkan lagi penjenamaan saya," kata Killa Driz.