Kumpulan nasyid UKM Lasykar Khaleefah muncul Juara Dai Voice ASEAN di Pattani

Kumpulan nasyid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Lasykar Khaleefah rangkul tiga anugerah di Pattani dalam pertandingan Dai Voice ASEAN/Foto UKM

PATTANI, 26 April – Kumpulan nasyid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Lasykar Khaleefah mengharumkan nama negara apabila muncul juara pertandingan Dai Voice ASEAN di Pattani, Thailand, baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lasykar Khaleefah merangkul tiga anugerah utama termasuk Lagu Terbaik dan Solo Terbaik.
  • Mengangkat pulang wang tunai 20,000 Baht serta trofi utama pertandingan.
  • Lagu Terbaik diberikan kerana kekuatan susunan muzik dan lirik.
  • Solo Terbaik diraih oleh Saifullah Khanip Rofli, pencapaian hasil kerja keras dan sokongan.

Kemenangan itu menyaksikan wakil Malaysia berkenaan berjaya mengetepikan saingan peserta dari beberapa negara Asia Tenggara menerusi persembahan mantap yang memukau barisan juri.

Lasykar Khaleefah bukan sahaja dinobatkan sebagai juara keseluruhan, malah turut merangkul dua lagi pengiktirafan utama iaitu Lagu Terbaik dan Solo Terbaik.

Sebagai juara keseluruhan, kumpulan itu membawa pulang wang tunai 20,000 Baht (kira-kira RM2,570), berserta trofi utama pertandingan.

Anugerah Lagu Terbaik pula diberikan hasil kekuatan susunan muzik serta lirik yang dibawakan, manakala kategori Solo Terbaik dimenangi salah seorang ahlinya, Saifullah Khanip Rofli.

Wakil kumpulan itu berkata kemenangan berkenaan adalah hasil kerja keras serta sokongan semua pihak yang sentiasa mendoakan kejayaan mereka.

Katanya, mereka tidak menyangka mampu membawa pulang tiga anugerah utama sekali gus di pentas antarabangsa itu.

Pertandingan Dai Voice ASEAN dianjurkan bagi mengetengahkan bakat seni suara selain memperkukuh ukhuwah serantau menerusi platform seni nasyid.