UNRWA berdepan krisis dana, negara anggota PBB rayu sumbangan segera

Foto fail REUTERS

NEW YORK, 1 Julai – Negara anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan sokongan berterusan terhadap Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), sambil menyifatkan agensi itu sebagai tidak dapat digantikan ketika berdepan krisis kekurangan dana yang semakin meruncing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kekurangan dana kritikal: sumbangan 2025 hanya AS$829 juta, memenuhi 27% keperluan AS$3.3 bilion, rayuan sumbangan segera.
  • UNRWA menyediakan pendidikan, perkhidmatan kesihatan, bekalan air dan sanitasi, asas penting bagi keamanan adil dan berkekalan.
  • Operasi dihalang: ibu pejabat UNRWA di Baitulmaqdis Timur dirobohkan, beberapa negara menggantung pembiayaan, gesaan agar agensi dibenarkan beroperasi selamat.

Presiden Perhimpunan Agung PBB, Annalena Baerbock berkata, UNRWA menerima sumbangan berjumlah AS$829 juta (kira-kira RM3.5 bilion) sepanjang 2025, namun jumlah itu hanya memenuhi 27 peratus daripada keperluan pembiayaan keseluruhan sebanyak AS$3.3 bilion (kira-kira RM14 bilion).

“Hari ini, kami menyeru semua kerajaan, termasuk kerajaan serantau, yayasan kebajikan, sektor swasta dan orang ramai supaya meningkatkan sumbangan mereka dengan segera,” katanya.

Menurut Baerbock, tanpa peranan UNRWA dalam menyediakan pendidikan, perkhidmatan kesihatan, bekalan air bersih, sanitasi dan pelbagai perkhidmatan asas lain, usaha mencapai keamanan yang adil dan berkekalan akan menjadi lebih sukar, malah mungkin mustahil.

“Hakikatnya jelas. Jika UNRWA tidak dapat menjalankan tugasnya, siapa lagi yang akan menggantikannya? Sokongan kewangan sahaja tidak mencukupi, namun ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban yang dihadapi ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Delegasi Kesatuan Eropah ke PBB, Stavros Lambrinidis, menggesa supaya UNRWA dibenarkan beroperasi dengan selamat tanpa sebarang halangan.

Beliau berkata tindakan pihak berkuasa Israel merobohkan ibu pejabat UNRWA di Baitulmaqdis Timur untuk digantikan dengan kemudahan ketenteraan merupakan pelanggaran jelas terhadap tanggungjawab Israel di bawah undang-undang antarabangsa.

“Keputusan pihak berkuasa Israel merobohkan ibu pejabat UNRWA dan membina kemudahan ketenteraan di tapak itu di Baitulmaqdis Timur adalah pelanggaran nyata terhadap kewajipan Israel,” katanya.

Setiausaha Pertama Arab Saudi ke PBB, Waleed Mamdouh Mosly, pula mendakwa UNRWA menjadi sasaran kempen politik yang tersusun berikutan peranannya membantu pelarian Palestin.

“Peranan UNRWA tidak dapat diganti dan amat penting. Kami memberi amaran bahawa usaha menyasarkan agensi ini adalah sebahagian daripada cubaan menghapuskan isu pelarian Palestin, sedangkan ia perlu diselesaikan mengikut undang-undang antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Pemerhati Tetap Palestin ke PBB, Riyad Mansour, merakamkan penghargaan kepada negara anggota yang terus menyokong UNRWA.

“Kami mengalu-alukan ikrar sokongan dan sumbangan yang diumumkan hari ini. Saya menyeru negara yang sudah menyumbang supaya menambah bantuan mereka, manakala negara yang belum berbuat demikian agar turut menyertai usaha ini,” katanya.

UNRWA ditubuhkan oleh Perhimpunan Agung PBB pada 1949 bagi menyediakan bantuan kemanusiaan, pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan perlindungan kepada pelarian Palestin yang berdaftar di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, Semenanjung Gaza, Jordan, Lubnan dan Syria.

Israel sebelum ini mendakwa UNRWA telah dicemari dengan anggota Hamas serta menuduh sebahagian kakitangannya terbabit dalam serangan pada 7 Oktober 2023.

Susulan dakwaan itu, Israel mengharamkan operasi UNRWA di Israel dan Baitulmaqdis Timur selain Amerika Syarikat (AS) bersama beberapa negara lain turut menggantung pembiayaan kepada agensi itu, namun AS kekal sebagai satu-satunya penyumbang utama yang belum menyambung semula bantuan kewangannya.

UNRWA bagaimanapun menegaskan agensi itu menguatkuasakan peraturan berkecuali yang ketat serta mempunyai mekanisme pemantauan dalaman. – VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.