Trump pertimbang serangan lebih besar daripada Operasi Epic Fury ke atas Iran

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump / Foto fail REUTERS

WASHINGTON, 24 Julai – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sedang mempertimbangkan untuk melancarkan serangan besar-besaran ke atas Iran yang disifatkannya sebagai “lebih besar daripada sebelum ini”, ketika ketegangan antara kedua-dua negara terus memuncak.

RINGKASAN BERITA AI
  • CENTCOM mengesahkan operasi serangan malam ke-13 berturut-turut terhadap sasaran ketenteraan Iran.
  • Operasi bertujuan memastikan Iran dipertanggungjawabkan serta mengurangkan ancaman Kor Pengawal Revolusi Islam terhadap pelayaran komersial.
  • Trump mendakwa Israel akan menyertai operasi itu jika diminta namun mengakui tindakan sedemikian membawa akibat kepada sekutu.
  • Senat menolak usul untuk hadkan kuasa perang Trump manakala Dewan Perwakilan meluluskan resolusi tidak mengikat gesa hentikan permusuhan.

Menurut laporan Axios, Trump berkata, beliau hampir membuat keputusan untuk memulakan semula operasi ketenteraan berskala besar terhadap Iran, termasuk serangan yang lebih besar daripada Operasi Epic Fury yang dilancarkan pada 28 Februari.

“Saya sedang mempertimbangkan serangan besar-besaran, lebih besar daripada sebelum ini. Saya hampir membuat keputusan. Kami sudah bersedia sepenuhnya,” katanya.

Trump turut mendakwa Iran masih belum menerima tekanan yang mencukupi susulan siri tindakan ketenteraan yang dilancarkan terhadap negara itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Pusat Pemerintahan Amerika Syarikat (CENTCOM) memaklumkan, tentera AS memulakan operasi serangan malam ke-13 berturut-turut terhadap sasaran ketenteraan Iran pada Khamis.

CENTCOM dalam kenyataan menerusi media sosial berkata, operasi itu bertujuan memastikan Iran dipertanggungjawabkan atas tindakannya serta mengurangkan ancaman Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) terhadap pelayaran komersial.

Trump turut mendakwa Israel akan menyertai operasi ketenteraan itu sekiranya diminta, namun mengakui tindakan sedemikian akan membawa akibat kepada negara sekutunya itu.

Dalam hantaran di platform Truth Social, Trump turut memberi amaran bahawa kumpulan Houthi di Yaman dan Iran akan berdepan “hukuman ketenteraan yang besar” sekiranya kumpulan itu terus menyerang kapal-kapal di laluan perkapalan antarabangsa.

Beliau mendakwa, kumpulan Houthi menyerang dua kapal milik Arab Saudi pada malam sebelumnya dan menegaskan AS akan mempertanggungjawabkan Iran sekiranya serangan itu berterusan.

Sementara itu, Senat AS menolak usul yang dikemukakan Parti Demokrat untuk mengehadkan kuasa Trump melancarkan peperangan terhadap Iran tanpa kelulusan Kongres, manakala Dewan Perwakilan meluluskan satu resolusi tidak mengikat yang menggesa pentadbiran beliau menghentikan permusuhan terhadap Tehran.

Amerika Syarikat dan Iran sebelum ini menandatangani memorandum persefahaman pada pertengahan Jun bagi membuka laluan kepada rundingan dalam tempoh 60 hari, namun ketegangan kembali memuncak selepas kedua-dua pihak saling melancarkan serangan di Asia Barat.

Harga minyak mentah Brent turut melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh dua bulan, mencecah AS$100 setong pada Khamis selepas dua kapal tangki minyak Arab Saudi diserang di Laut Merah. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.