Rakyat digesa kurangkan guna bahan api, bekerja dari rumah – Modi

Foto AFP

BENGALURU, 11 Mei – Perdana Menteri, Narendra Modi menggesa rakyat India mengurangkan penggunaan petrol dan diesel di tengah-tengah gangguan bekalan akibat perang di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Galakkan kerja dari rumah, persidangan dan mesyuarat dalam talian seperti semasa pandemik untuk mengurangkan permintaan pengangkutan.
  • Tekanan penjimatan mata wang asing dengan mengurangkan import bahan api dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam seperti metro.
  • Syarikat pemasaran minyak menanggung kerugian besar menjual pada kos lebih rendah; pemotongan cukai petrol dan diesel turut mengurangkan hasil kerajaan.

Ini termasuk menggalakkan budaya kerja dari rumah, persidangan dan mesyuarat dalam talian, sama seperti ketika berdepan pandemik Covid-19 lalu.

Menurut Modi, sekatan penggunaan perlu untuk menjimatkan mata wang asing yang dibelanjakan bagi mengimport bahan api.

“Kita perlu kurangkan penggunaan petrol dan diesel. Di bandar-bandar dengan laluan pengangkutan awam metro, orang ramai harus cuba melakukan perjalanan dengan metro,” kata Modi ketika berucap pada perhimpunan di selatan negeri Telangana.

“Kita juga mesti memberikan penekanan terhadap penjimatan pertukaran asing kerana petrol dan diesel telah menjadi begitu mahal di peringkat global,” tambah beliau.

India adalah salah satu daripada beberapa negara di rantau ini yang tidak menaikkan harga petrol dan diesel untuk pengguna domestik atau mencatu bekalannya, namun harga gas petroleum cecair (LPG) dinaikkan.

Sementara itu, Menteri Petroleum dan Gas Asli India, Hardeep Singh Puri berkata syarikat pemasaran minyak (OMC) telah terjejas pendapatan bagi memastikan import dan bekalan tenaga tidak terganggu.

“OMC membeli minyak mentah, gas dan LPG pada kos yang lebih tinggi tetapi untuk melindungi pengguna, mereka menjual produk akhir pada kos yang lebih rendah sekali gus membawa kepada kerugian besar-besaran sehingga 1,000 crore rupee (kira-kira AS$120 juta) setiap hari,” kata Puri.

Beliau menambah kerugian bagi kerajaan, selepas mengurangkan cukai ke atas diesel dan petrol untuk penggunaan domestik menyaksikan kerugian hasil sebanyak 14,000 crore rupee (kira-kira AS$1.6 bilion) sebulan.-AFP