
BANGKOK, 11 Mei – Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, 76 tahun dibebaskan dari penjara hari ini selepas menjalani hukuman selama lapan bulan.
- Mahkamah mendapati Thaksin sengaja berada di hospital untuk mengelak hukuman, menyebabkan beliau dipenjarakan.
- Kembali ke Thailand pada 2023 selepas 15 tahun buangan untuk hadapi tuduhan konflik kepentingan dan penyalahgunaan kuasa; hukuman asal dikurangkan oleh Raja.
- Mahkamah Agung menyimpulkan Thaksin dan dokternya memanjangkan rawatan melalui pembedahan kecil yang tidak perlu.
Taksin dipenjara susulan keputusan mahkamah menganggap beliau berada di hospital secara salah bagi mengelak hukuman tersebut.
Pembebasan beliau disambut ahli keluarga, termasuk anak perempuannya, Paetongtarn Shinawatra, yang dipecat sebagai perdana menteri atas perintah mahkamah Ogos lalu, beberapa minggu sebelum pemenjaraannya.
Beratus-ratus penyokong turut berada di luar Penjara Pusat Klong Prem, Bangkok sejak awal pagi sambil melaungkan slogan ‘Kami Sayangkan Thaksin’.
Selepas 15 tahun hidup dalam buangan, Thaksin kembali ke Thailand pada tahun 2023 untuk menghadapi hukuman penjara lapan tahun atas konflik kepentingan dan penyalahgunaan kuasa semasa menjadi perdana menteri dari 2001-2006.
Bagaimanapun hukuman tersebut telah diringankan kepada setahun oleh Raja Thailand.
Ketika dipenjara, Thaksin mengadu sakit dada dan jantung bermasalah menyebabkan beliau berada di pusat kesihatan tersebut hampir enam bulan, sehingga dibebaskan dengan parol.
September tahun lalu, Mahkamah Agung memutuskan Thaksin tetap perlu menjalani hukuman penjara dan menyimpulkan bekas perdana menteri Thailand itu dan doktornya sengaja memanjangkan tempoh rawatan beliau di hospital menerusi pembedahan kecil yang tidak perlu.-Reuters