Langkah penjimatan belanjawan tidak jejas perancangan utama KPM

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR, 3 Jun Langkah penjimatan belanjawan yang dilaksana kerajaan tidak akan menjejaskan perancangan utama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian memberi jaminan langkah penjimatan tidak ganggu pelaksanaan dasar dan keutamaan pendidikan negara.
  • Kebajikan murid dan persekitaran pembelajaran kondusif terus menjadi keutamaan untuk mengekalkan kualiti pendidikan.
  • Penyelenggaraan sekolah daif dan projek naik taraf bilik guru akan diteruskan seperti biasa.
  • Pembinaan kelas tambahan untuk atasi kepadatan murid dan agihan baucar buku akan dilaksanakan selepas sekolah dibuka.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata kementerian menyambut baik langkah penjimatan itu dengan memberi jaminan ia tidak akan menjejaskan pelaksanaan dasar dan keutamaan pendidikan negara.

Jelasnya, aspek kebajikan murid dan penyediaan persekitaran pembelajaran yang kondusif terus menjadi keutamaan bagi memastikan kualiti pendidikan negara terus terpelihara.

“Sekolah-sekolah daif dan penyelenggaraan masih juga diteruskan seperti biasa kerana kita masih percaya dan mahu ia menjadi sebahagian daripada gerak kerja kita yang konsisten untuk memastikan sekolah kondusif dan sebagainya khususnya juga untuk memastikan sekolah ini terus selamat untuk anak-anak kita.

“Jadi, walaupun seruan penjimatan itu adalah seruan yang sangat penting dan kritikal ketika ini, tetapi saya ingin memberi jaminan bahawa ia tidak akan memberikan ataupun mengganggu dalam konteks terkait rapat dengan keutamaan-keutamaan di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Perasmian Simposium Antarabangsa Kepustakaan, Terjemahan dan Kecerdasan Buatan (LiTr.AI) 2026 di ibu negara.

Fadhlina berkata ketika ini penambahbaikan yang dirancang oleh KPM berjalan mengikut perancangan yang ditetapkan. Ia termasuk melibatkan pembinaan kelas tambahan di sekolah-sekolah yang berdepan isu kepadatan murid dan penyelenggaraan bilik guru.

“Kita juga sudah umumkan semasa Hari Guru tempoh hari untuk penyelenggaraan bilik guru, naik taraf bilik guru yang juga terkait dengan suasana kondusif di sekolah yang saya kira itu projek itu jalan seperti biasa juga,” katanya.

Mengulas mengenai pengumuman pemberian baucar buku, Fadhlina memaklumkan agihan baucar tersebut akan dilaksanakan di sekolah sebaik sahaja sesi persekolahan dibuka semula selepas cuti persekolahan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.