Sepanyol ambil semua langkah pencegahan elak penularan hantavirus

Foto Reuters

MADRID, 11 Mei – Sepanyol akan mengambil semua langkah-langkah pencegahan bagi menghentikan penularan hantavirus daripada penumpang kapal persiaran MV Hondius, selepas warga Perancis dan Amerika Syarikat diuji positif.

RINGKASAN BERITA AI
  • 94 penumpang dan anak kapal daripada 19 kewarganegaraan dihantar pulang dari Kepulauan Canary.
  • Pemindahan ke lapangan terbang Tenerife diiringi pasukan perubatan dan pemeriksaan kesihatan teliti.
  • Penerbangan ke Australia dan Belanda dirancang; beberapa warga Belanda dan Australia masih belum dipindahkan.
  • Tiada vaksin atau rawatan khusus; penyakit bawaan tikus jarang berlaku dan risiko kesihatan awam global dianggap rendah.

Ahad lalu, pihak berkuasa telah melaksanakan operasi penghantaran pulang 94 penumpang dan anak kapal daripada 19 kewarganegaraan yang berbeza tersebut dari Kepulauan Canary.

Proses penghantaran penumpang kapal tersebut ke lapangan terbang di Tenerife turut diiringi pasukan perubatan di bawah pengawasan yang rapi dan pemerikasaan yang teliti.

Kementerian Kesihatan Sepanyol dalam satu kenyataan mendedahkan, langkah-langkah berkenaan diambil bagi memutuskan rantaian penularan hantavirus.

“Salah seorang penumpang warga Perancis mula tidak sihat ketika dalam penerbangan, bukan semasa berada di atas kapal persiaran MV Honius,” jelas kenyataan tersebut.

Sementara itu, penumpang warganegara Amerika yang diuji positif tidak menunjukkan sebarang simptom ketika berada di Cape Verde, tempat MV Hondius berhenti sebelum sampai ke Kepulauan Canary.

Dua lagi penerbangan penghantaran pulang ke Australia dan Belanda dirancang hari ini untuk melengkapkan pemindahan sebahagian besar daripada hampir 150 penumpang dan anak kapal.

Menteri Sepanyol, Angel Victor Torres mendedahkan, masih terdapat beberapa warga Belanda dan Australia yang masih belum dipindahkan.

Sehingga kini, tiada vaksin atau rawatan khusus untuk merawat mereka yang dijangkini hantavirus dan ia merupakan penyakit bawaan tikus yang jarang berlaku.

Pihak berkuasa kesihatan menegaskan, risiko hantavirus kepada kesihatan awam global adalah rendah dan menolak perbandingan dengan pandemik Covid-19.