Raja Charles III bakal berucap di Kongres AS, seru pertahan demokrasi

Foto AFP

WASHINGTON, 28 April – Raja Britain, Raja Charles III dijadual menyampaikan ucapan di hadapan Kongres Amerika Syarikat (AS) di sini pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Baginda dijangka menekankan kepentingan mempertahankan nilai demokrasi bersama sebagai asas kebebasan dan kesaksamaan menghadapi cabaran global.
  • Baginda dijangka mengimbas sejarah 250 tahun hubungan kedua negara sebagai antara pakatan paling penting dalam sejarah moden.
  • Lawatan berhasrat memperkukuh hubungan dua hala tetapi berdepan cabaran susulan ketegangan dan kritikan Trump terhadap Keir Starmer.

Ucapan itu dijangka menjadi tumpuan kerana berlangsung ketika hubungan istimewa antara Washington dan London berada dalam keadaan tegang susulan konflik Iran.

Menurut laporan AFP, ucapan Raja Charles III dijangka menekankan kepentingan mempertahankan nilai demokrasi bersama sebagai asas kebebasan dan kesaksamaan dalam menghadapi cabaran global.

“Baginda yang berusia 77 tahun juga dijangka mengimbas sejarah 250 tahun hubungan kedua-dua negara yang disifatkan sebagai antara pakatan paling penting dalam sejarah moden,” menurut laporan tersebut.

Ucapan tersebut turut mencatat sejarah apabila Raja Charles III menjadi Raja Britain pertama berucap di Kongres sejak bondanya, Ratu Elizabeth II melakukannya pada 1991.

Kerajaan Britain berharap lawatan itu dapat memperkukuh hubungan dua hala, dengan mengambil kira minat Trump terhadap institusi diraja serta latar belakang keluarganya yang mempunyai kaitan dengan Scotland.

Namun, usaha tersebut dijangka berdepan cabaran, berikutan kritikan berterusan Trump terhadap Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, khususnya berhubung perang Iran dan dasar domestik London.

Starmer sebelum ini mengkritik konflik berkenaan, namun tetap mempertahankan kepentingan lawatan negara tersebut walaupun tinjauan menunjukkan sebahagian rakyat Britain mahu ia dibatalkan. – AFP