
SYDNEY, 28 April – Australia membentangkan draf undang-undang yang akan mengenakan cukai terhadap syarikat gergasi media sosial seperti Meta, Google dan TikTok sekiranya mereka gagal mencapai perjanjian secara sukarela untuk membayar organisasi media tempatan bagi kandungan berita.
- Syarikat gergasi media sosial perlu memberi pampasan kepada penerbit berita tempatan atas perkongsian artikel yang menjana trafik.
- Jika enggan memeterai perjanjian, syarikat terbabit akan dikenakan levi mandatori 2.25 peratus daripada pendapatan di Australia.
- Draf undang-undang direka untuk mengelakkan platform menarik kandungan berita dan melindungi hasil organisasi media tradisional.
Syarikat media tradisional di seluruh dunia kini berdepan cabaran kelangsungan apabila semakin ramai pengguna mendapatkan berita melalui media sosial.
Melalui cadangan itu, Australia mahu syarikat gergasi media sosial memberi pampasan kepada penerbit tempatan susulan perkongsian artikel yang menjana trafik di platform mereka.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata, syarikat teknologi berkenaan akan diberi peluang untuk memeterai perjanjian kandungan dengan penerbit berita tempatan.
Bagaimanapun, jika mereka enggan, syarikat terbabit bakal dikenakan levi mandatori sebanyak 2.25 peratus daripada pendapatan mereka di Australia, katanya.
“Platform digital berskala besar tidak boleh mengelak tanggungjawab di bawah kod rundingan media berita,” kata Albanese kepada pemberita.
Draf undang-undang itu turut direka bagi mengelakkan syarikat media sosial bertindak menarik kandungan berita daripada platform mereka, seperti yang pernah dilakukan Meta dan Google di beberapa negara sebelum ini.
Penyokong langkah tersebut berpendapat syarikat media sosial meraih keuntungan melalui kandungan berita yang menarik pengguna, sekali gus menyerap hasil pengiklanan dalam talian yang sepatutnya dimanfaatkan oleh organisasi media.
Sementara itu, kajian oleh University of Canberra mendapati lebih separuh rakyat negara itu menggunakan media sosial sebagai sumber berita.- AFP