
NEW DELHI, 14 September – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rancangan mengadakan pertemuan dua hala dengan Ketua Menteri Tamil Nadu, C. Joseph Vijay, masih dalam perancangan dan boleh diadakan sama ada di Putrajaya atau Chennai.
- Lawatan kerja ke Chennai dibatalkan kerana jadual padat, komitmen Vijay dan masa lawatan yang terhad.
- Kedua-dua pihak berusaha menyelaraskan jadual, menzahirkan hubungan baik antara Malaysia dan Tamil Nadu yang kekal kukuh.
- Anwar memuji Vijay atas penerimaan kalangan muda, pendekatan berteraskan nilai, kesabaran dan kebijaksanaan praktikal serta fokus reformasi.
- Pengaruh budaya Vijay serta nilai Tirukkural berpotensi memperkukuh hubungan diplomatik dan ikatan antara rakyat Malaysia dan Tamil Nadu.
Beliau berkata, lawatan kerja ke Chennai yang sepatutnya menjadi persinggahan pertama beliau selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi terpaksa dibatalkan, susulan kedua-dua pihak berusaha menyesuaikan jadual masing-masing berikutan komitmen terdahulu Vijay, selain tempoh masa lawatannya ke India yang agak terhad sebelum meneruskan perjalanan ke Kerala dan Maldives.
“Dari awal, pejabat Ketua Menteri berkata mereka cuba menyesuaikan jadual beliau kerana mempunyai komitmen terdahulu, manakala saya hanya mempunyai ruang masa yang sangat terhad antara New Delhi, Kerala dan lawatan ke Maldives,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Thanthi TV.
Datuk Seri Anwar berkata Vijay turut cuba menyesuaikan jadualnya, namun mempunyai misi pelaburan utama dan beberapa program lain yang telah dirancang.
“Jadi akhirnya saya berkata kepadanya, saya akan terus ke Kerala dan Maldives dan saya tidak dapat meneruskan lawatan ke Tamil Nadu,” katanya.
Menurut Datuk Seri Anwar, keadaan itu menunjukkan kedua-dua pihak sebenarnya berusaha menyelaraskan jadual masing-masing dan hubungan baik antara Malaysia dengan Tamil Nadu kekal kukuh.
Dalam temu bual berkenaan, beliau turut memberikan pandangan mengenai Vijay, termasuk menyentuh penerimaan awal pemimpin itu dalam kalangan pengundi muda serta kepentingan beliau mengambil pendekatan jangka panjang dalam politik berteraskan nilai, kesabaran dan kebijaksanaan praktikal.
Datuk Seri Anwar adalah antara pemimpin asing terawal mengucapkan tahniah kepada Vijay, dan menyifatkan pemimpin itu sebagai “suara baharu yang membawa kewajaran, prinsip dan tadbir urus yang baik”.
“Ketika saya bercakap dengannya (Vijay), saya sentiasa memberitahu bahawa cabaran apabila anda berada dalam pemerintahan ialah mengekalkan kebijaksanaan untuk mengemudi kerana dalam dunia sebenar, cabarannya berbeza daripada apa yang anda mahu lakukan,” katanya.
Datuk Seri Anwar berkata beliau turut tersentuh dengan pendekatan Vijay, khususnya kesungguhannya terhadap agenda reformasi, usaha membersihkan pentadbiran serta menangani isu kemiskinan dan rasuah.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata beliau mengingatkan Vijay bahawa usaha berkenaan bukan mudah kerana tadbir urus yang baik memerlukan keupayaan menangani tekanan dan kepentingan yang kompleks tanpa mengabaikan prinsip asas.
Datuk Seri Anwar turut mendedahkan bahawa beliau memberikan bukunya kepada Vijay selepas mengadakan perbincangan substantif dengan pemimpin Tamil Nadu itu, sambil menyifatkannya sebagai seorang yang terbuka untuk belajar.
“He listens,” katanya mengenai sifat Vijay yang disifatkannya sebagai sesuatu yang positif ketika budaya mendapatkan tepukan segera sering mengatasi usaha untuk melakukan refleksi.
Dalam temu bual itu, Datuk Seri Anwar turut menekankan kedudukan penting Tamil Nadu dari sudut tamadun, termasuk nilai moral yang terkandung dalam Tirukkural serta pengaruh filem sebagai medium pendidikan.
Beliau berpandangan pengaruh budaya Vijay juga mempunyai potensi dalam memperkukuh hubungan diplomatik dan hubungan antara rakyat Malaysia dengan Tamil Nadu.
Bagi Malaysia, yang mempunyai masyarakat India yang majoritinya berketurunan Tamil, populariti Vijay dilihat bukan sekadar berkaitan dunia hiburan, sebaliknya boleh menjadi peluang untuk memperkukuh hubungan antara rakyat kedua-dua pihak. – BERNAMA